Pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ mendapat penerimaan yang positif di kalangan pengguna jalan raya sejak ia dilaksanakan buat pertama kalinya di Hulu Langat pada hujung tahun lalu. Namun serasanya untuk melaksanakannya secara lebih meluas mungkin perlu dipertimbangkan secara lebih teliti untuk direalisasikan. Ia berikutan kosnya dikatakan amat mahal mencecah hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.
Itulah perkara yang dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi walau pun kementeriannya menyedari keperluannya untuk meneruskan projek ini termasuk di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik).
“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif. Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Jelas beliau, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.
“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Pada November lalu, KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan ‘glow in the dark’ di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Projek rintis ini dilaksanakan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ia didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘road stud/mata kucing’. Di mana ia mengikut konsep garisan di jalan raya kelihatan normal pada waktu siang namun akan bercahaya pada waktu malam.
Kemudian, projek yang sama dilaksanakan di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap, Kedah. Malahan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh pula mengesahkan teknologi untuk garisan jalan glow in the dark juga akan diperkenalkan di Johor pada tahun ini.
The post Garisan jalan ‘glow in the dark’ melibatkan kos hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional – KKR appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments