VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta

VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta

Rakaman video yang agak mengejutkan ini telah dimuatnaik menerusi kumpulan Facebook ‘Penduduk Sungai Petani Kedah’ (dimuat naik sekali lagi oleh @sungaikelaut menerusi X), memaparkan seorang penumpang menyerang pemandu Grab. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Sungai Petani, Kedsah.

Menerusi sedutan video rakaman dashcam di dalam kereta berkenaan, penumpang berkenaan yang merupakan seorang budak lelaki yang dipercayai berusia sekitar 13 tahun duduk di bahagian penumpang belakang, dipandu oleh pemandu Grab yang sudah berusia. Sekitar minit ke 1:10 rakaman video itu, pemandu tersebut menghampiri destinasi dan bersedia untuk menerima bayaran.

Beberapa saat kemudian, budak lelaki berkenaan kelihatan mengeluarkan pisau dan bertindak cuba menikam pemandu berkenaan tetapi gagal dan terus keluar dari kereta dan melarikan diri. Pemandu berkenaan kelihatan tidak mengalami kecederaan susulan serangan terbabit dan sempat merampas pisau yang digunakan itu.

Motif serangan masih tidak dapat diketahui tetapi insiden terbabit menunjukkan betapa pentingnya kereta e-hailing perlu memasang dashcam dalaman. Kebiasaannya kereta mempunyai dashcam yang menghadap ke luar untuk menangkap rakaman kritikal sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, tetapi tidak banyak kereta e-hailing mempunyai satu untuk bahagian dalam. Jika anda menyediakan perkhidmatan e-hailing, kami sangat menyarankan agar anda memasang satu unit dashcam dalaman untuk kereta anda.

Kemaskini 10.25 pagi : Menurut laporan Berita Harian, remaja lelaki berusia 13 tahun terbabit dikatakan tidak puas hati dimaki ketika mengambil semula wang tambang hingga menjadikannya punca bertindak di luar kawalan dengan mengacu pisau di dada kiri pemandu e-hailing terbabit. Polis berjaya menahan remaja terbabit dan merampas sebilah pisau yang dibawa remaja lelaki berkenaan dan ditinggalkan di tempat kejadian.

The post VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments