Toyota Fortuner GR Sport untuk tahun 2023 bagi pasaran Thailand telah pun diberikan peningkatan dan kini ditawarkan pada harga bermula 1.939 juta baht (RM253,765), lebih mahal berbanding ketika ia dilancarkan dua tahun lalu.
Dengan kenaikan harga mencecah 20,000 baht (RM2,617), pelanggan di Thailand kini boleh mendapatkan SUV ini dengan bumbung hitam yang kontras dengan warna badan sama ada dalam pilihan Emotional Red atau Platinum White Pearl – dengan pilihan ketiga adalah warna monotone Attitude Black Mica.
Perubahan terbesar yang diberikan untuk Fortuner GR Sport ini melibatkan enjinnya, dengan unit 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder sebaris yang dinaiktaraf kini dengan hamburan kuasa cecah 224 PS (221 hp) pada 3,400 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm – sama dengan Hilux GR Sport bagi pasaran Australia. Sebelum ini, enjin tersebut menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp) dan 500 Nm, jadi ada peningkatan sebanyak 20 PS (20 hp) dan 50 Nm.
Unit 1GD-FTV ini masih dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan empat-roda separuh-masa dengan penggunaan pedal penukar gear. Bukan itu sahaja, Fortuner GR Sport ini juga diberikan sokongan tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay.
Selain daripada itu, ciri lain masih dikekalkan. Fortuner GR Sport masih didatangkan dengan penggayaan luaran spesifik GR, monotube dampers, brek spesifik GR, roda 20-inci, pedal aluminium serta tempat duduk sport, butang penghidup enjin dan kunci jenama-GR
Ciri lain yang turut dikekalkan termasuklah lampu utama LED automatik, upholstery kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, paparan kluster instrumen pelbagai-info 4.2-inci, unit utama skrin sesentuh sembilan-inci, tailgate kuasa dengan akses bebas-tangan, pengecas telefon tanpa wayar, tujuh beg udara, paparan pandangan panoramik dan Toyota Safety Sense.
The post Toyota Fortuner GR Sport 2023 dinaiktaraf di Thai – 2.8L turbodiesel dengan 224 PS, 550 Nm; dari RM254k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments