Dalam preview smart #1 sebelum ini, kami sudah tunjukkan rekaan luaran EV berkenaan. Dan, bagi mereka yang berkunjung ke acara EVx 2023 tempoh hari juga sempat melihat unit yang dipamerkan — juga hanya menunjukkan perincian luaran sahaja, dengan semua cermin digelapkan.
Kini, masanya telah tiba untuk meneliti pula rekaan ruang dalamannya. smart #1 diposisikan sebagai sebuah SUV EV untuk bersaing dalam pasaran premium. Melihat daripada rekaan luarannya, banyak elemen dan sentuhan yang mencadangkan bahawa ini sebuah kereta yang ingin menampilkan kecanggihannya.
smart kini menjadi jenama yang hanya akan mengeluarkan EV semata-mata. Model smart #1 adalah hasil pertama antara usahasama dua syarikat, dengan pemilik Jermannya bertenggungjawab terhadap rekaan, manakala pemilik sebahagian lagi kepentingannya, Geely dari China pula menyediakan aspek binaan dan kejuruteraan untuk produk yang akan mereka keluarkan selepas ini. Maka, tiada lagi model-model ikonik seperti smart ForTwo dan ForFour; yang ada kini ialah era baru smart, dengan arah tuju juga berbeza.
Dengan itu, semua hasrat itu dijelmakan ke dalam rekaan smart #1 ini. Untuk ruang kabin, papan pemuka bernuansa moden dengan elemen bujur dan bulat menjadi elemen utama. Dua pilihan warna ditawarkan untuk ruang kabinnya: hitam dan putih. Seperti yang dalam dilihat dalam galeri ini, sentuhan rekaan papan pemukanya lari dari cara konvensional. Ia berbentuk T yang disambung ke bahagian konsol tengah yang berkedudukan agak tinggi. Rekaan corong pendingin juga leper dan memanjang.
Stereng nampak kemas dengan balutan kulit. Ia ringkas dengan tiga jejari, dengan butang kawalan dalam kemasan krom di kiri dan kanan. jenama smart tertera dengan agak besar di bahagian jejari yang paling bawah. Begitu juga dengan logo — besar terletak di tengah-tengah.
Konsol di tengah yang berkedudukan tinggi itu juga menempatkan beberapa ruang simpanan kecil yang banyak, termasuk ruang terbuka yang agak besar di bahagian bawahnya. Tidak ketinggalan, sesuai dengan keperluan sebuah kereta EV yang perlu lengkap dengan sistem canggih, sebuah skrin besar 12.8-inci terletak di tengah, untuk mengendalikan semua perihal berkaitan sistem infotainmen. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci juga disediakan, berserta head-up display 10-inci untuk maklumat pemanduan.
Ada sentuhan yang biasa dilihat untuk kenderaan Mercedes-Benz, turut ada untuk kereta ini. Misalnya, lampu suasana 64-warna — dengan suasana yang lebih segar untuk muda-mudi. Namun, di dalam kabin ini, banyak juga penggunaan material plastik yang menjadikannya kurang premium jika disentuh.
Lain-lain kelengkapan adalah kuncinya yang menarik dengan fungsi lock/unlock ketika ia berada dekat/jauh dari kenderaan. Antara muka sistem infotainmennya juga ada seekor “musang” sebagai perantara untuk berkomunikasi.
Premium yang disasarkan oleh smart mungkin lebih terarah kepada golongan muda, dan bukannya premium yang ramai orang fahami sekiranya berbincang tentang penawaran kenderaan lazimnya. Sistem audio misalnya, ia dilengkapi dengan sistem 13-pembesar suara dan 640W oleh Beats. Ini sahaja pilihan yang jarang-jarang ditemukan untuk kereta, yang biasanya akan menggunakan jenama seperti Harman Kardon atau Bose. Ia juga lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan pengecas tanpa wayar.
Tentang praktikaliti, ruang butnya boleh menyediakan antara 323 liter hingga 411 liter ruang dengan nisbah lipatan 60:40 dan larasan gelungsur kerusinya. Jika perlu lebih luas, 986 liter boleh dicapai dengan penyandar kerusi belakang dilipat. Di bawah hud depan, ada lagi 115 liter ruang jika perlu.
Sebagai makluman, ukuran dimensi smart #1 adalah seperti berikut: 1,822 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Sebagai latar, jika dibandingkan dengan Honda HR-V, #1 ini lebih lebar 32 mm dan jarak rodanya lebih panjang 140 mm, walaupun ia sebenarnya lebih pendek daripada HR-V. #1 juga lebih tinggi 46 mm dengan ketinggian 1,636 mm. smart #1 juga menggunakan saiz rim yang lebih besar, 19-inci.
Model dalam gambar ini ialah dari varian #1 Premium, yang dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.
EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.
Selepas tengok rekaan luaran dan dalaman smart #1 ini, apa pandangan anda? Berapa harga yang sesuai untuk SUV ini?
The post smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments