Kementerian Pengangkutan berkata pembayaran secara dalam talian bagi pembaharuan cukai jalan (lesen kenderaan motor, atau LKM) dan lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ akan diperkenalkan pada masa akan datang. “Kita akan melancarkan pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi MyJpJ dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, pengumuman sistem pembayaran dalam talian akan dibuat selepas selesai proof of concept dilakukan. Beliau menambah bahawa ini adalah untuk memastikan sistem tersebut berjalan dengan lancar dan tanpa gangguan akibat trafik yang tinggi, laporan Bernama.
Pada bulan April lalu, JPJ berkata hampir tiga juga pengguna telah mendaftar dengan aplikasi berkenaan, yang juga membenarkan akses untuk versi digital bagi cukai jalan dan lesen memandu. Ketika itu, Ketua Pengarah JPJ (waktu itu) Datuk Zailani Hashim berkata pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu menerusi aplikasi berkenaan boleh dilakukan bermula pertengahan tahun ini.
Walau bagaimana pun, pertukaran kepada digital tidak bermakna dokumen fizikal cukai jalan atau lesen memandu tidak lagi diperrlukan. Minggu lalu, Loke berkata kementerian masih belum menetapkan tarikh akhir peralihan penuh kepada e-LKM, dan pemilik kenderaan masih mempunyai pilihan untuk terus menggunakan cukai jalan fizikal. Beliau menambah statistik JPJ mendedahkan hanya 30% pemilik kenderaan memilih untuk cukai jalan digital setakat ini.
Begitu juga dengan cukai jalan digital di mana ia hanya sah diperakui di Malaysia sahaja, dan jika ada yang ingin memandu di luar negara, salinan dokumen fikizal (atau permit lesen memandu antarabangsa) masih diperlukan kerana pihak berkuasa luar negara tidak mengiktiraf lesen memandu digital.
The post Pembaharuan cukai jalan, lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ masih dalam peringkat ujian – Loke appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments