Juruarah rali berpengalaman negara, Jagdev Singh dilaporkan sudah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi selapas jatuh sakit dan dikejarkan ke Subang Jaya Medical Center pada 12 Julai lalu. Berita sedih ini diumumkan dalam satu hantaran akaun facebook miliknya oleh saudara terdekat.
“Dengan berat hati kami ingin mengatakan bahawa Jagdev telah meninggal dunia petang ini. Dia dikelilingi oleh kasih sayang ketika dia melalui penghujung SS dengan kemenangan,” tulis hantaran tersebut.
Ahli keluarga Jagdev juga meminta agar gambar-gambar beliau yang terlantar di Hospital tidak lagi disiarkan untuk menghormati pemergiannya.
Jagdev merupakan antara juruarah terbaik dalam Malaysia dan mampu menjadi juruarah kepada kereta-kereta dan pemandu-pemandu rali yang pantas diperingkat antarabangsa. Pada era 90’an, Jagdev pernah bergandingan dengan pemandu Australia, Russell Palmer yang memandu Suzuki Swift GTi dan Proton Satria Group A untuk pasukan Silverstone Rally Team Malaysia.
Gandingan kedua-dua mereka bukan hanya beraksi di Malaysia, malah turut memberikan cabaran di pentas antarabangsa termasuk Hong Kong-Beijing Rally 1995 dan 1996. Jagdev mula menjadi sebahagian dari pasukan Petronas Eon Racing Team (PERT) pada 1997 dengan menjadi juruarah untuk Saladin Mazlan.
Malah pada tahun yang sama, Jagdev menggantikan Allen Oh sebagai juruarah untuk Karamjit Singh di Rally China, menyaksikan gandingan pertama antara kedua mereka.
Antara pemandu yang turut pernah bergandingan dengan Jagdev termasuk Gunaseelan Rajoo, Katsuhiko Taguchi, Cody Crocker, Kenneth Koh dan ramai lagi. Namun gandingan yang paling diingati sudah tentu bersama ‘Flying Sikh Malaysia’, Karamjit Singh.
Jagdev merupakan juruarah Karamjit ketika Karamjit mendominasi Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Proton Satria Neo pasukan Proton R3. Kedua-dua mereka juga pernah bergandingan dalam pasukan lain sebelum itu untuk rali tempatan dan juga peringkat antarabangsa.
Malah apabila Karamjit Singh mula berlumba semula dengan pasukan Cisco Racing pada 2021, Jagdev Singh dipilih sebagai gandingannya juga untuk rali dalam dan luar negara. Tahun lalu pasangan Karamjit dan Jagdev ini telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, serta merangkul tiga gelaran juara di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi, Indonesia.
The post Juruarah rali berpengalaman untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh dilaporkan meninggal dunia hari ini appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments