Tiga tahun selepas model dalam pasaran sekarang diperkenalkan, Kia kini mendedahkan pula Sorento generasi keempat versi facelift dalam beberapa imej, sebelum ia diperkenalkan secara rasmi kepada dunia tidak lama lagi.
Perubahan paling jelas adalah pada reka bentuk bahagian hadapan, dengan menyaksikan lampu barunya menggunakan susunan LED berbentuk T untuk DRL, serta empat LED menegak di setiap sisi untuk lampu utama. Garis lekuk di atas bonet juga kelihatan lebih jauh antara satu sama lain, sementara gril dan bampar turut menggunakan rekaan baru.
Profailnya dari tepi tidak berubah banyak, kecuali mendapat rim baru, manakala lampu belakang menggunakan bentuk serta grafik yang baru. Di bawah terdapat bampar dengan rekaan baru yang mempunyai lampu undur rendah di bawah skid plate, serta lampu kabus di atasnya.
Pada bahagian dalam, bentuk papan pemuka kelihatan sama sahaja seperti sebelum ini, tetapi diberikan dengan perincian baru seperti corong pendingin hawa lebih nipis dan mendatar, memberikan lebih ruang kepada skrin infotainmen yang bersambung dengan panel instrumen digital di hadapan pemandu.
Kedudukan butang pengawal pendingin hawa juga diubah ke bawah corong udaranya, dan nampak seperti menggunakan unit sesentuh dengan susun atur seperti Kia EV6. Juga sama seperti kereta elektrik itu, Sorento facelift turut menggunakan tombol pemilih gear jenis pusing.
Setakat ini hanya gambar sahaja yang didedah untuk Sorento facelift ini, sementara perincian teknikal serta spesifikasinya masih belum diberitahu. Sebagai rujukan, Hyundai Santa Fe yang baru generasi keempat yang baru didedahkan minggu lepas menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter turbo serta sistem pacuan semua roda.
The post Kia Sorento facelift 2024 – siri gambar awal didedah appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments