Selepas beberapa teaser disiarkan, akhirnya model prestasi elektrik penuh pertama dari divisi perlumbaan dan prestasi Hyundai iaitu Hyundai N kini didedahkan secara rasmi – memperkenalkan, Hyundai Ioniq 5 N! Model ini didedahkan ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed 2023 di UK, dan menyaksikan buat pertama kali pengeluar automotif Korea Selatan ini menyertai festival sukan permotoran bersejarah yang ikonik tersebut.
Menurut Hyundai, walaupun ini merupakan model EV, ia tetap dibina berasaskan tiga falsafah utama Hyundai N iaitu nakal di selekoh, kebolehan di litar lumba, dan kereta sport yang boleh digunakan setiap hari. Kesemua aspek tersebut dihasilkan menerusi teknologi yang dipelajari Hyundai N dalam sukan permotoran sebenar dan unit-unit prototaip ‘makmal bergerak‘ sebelum ini.
Seperti namanya, Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard. Dari sebelah luar, anda boleh lihat Ioniq 5 N ini nampak lebih gagah dari model biasa kerana badannya 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah. Perubahan ini bukan kerana mahukan aspek estetik semata-mata, ia sebenarnya terhasil kerana model ini memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.
Muka Ioniq 5 ini nampak lebih agresif dengan bampar hadapan yang diberikan liang ambilan udara besar, menampilkan tirai dan sayap udara berfungsi untuk memberikan aliran udara kepada sistem penyejuk, dan juga lips spoiler lebar yang diletakkan pada bahagian bawah bampar.
Juga terdapat ‘sayap’ yang diletakkan pada bahagian bawah skirt sisi. Manakala di belakang ia diberikan spoiler bumbung lebih besar bersama lampu brek ketiga berbentuk segi-tiga, dan bampar belakang juga nampak lain dari versi biasa dengan diffuser yang sangat menonjol bersama reflektor dengan corak seakan chequered flag. Hyundai turut memberikan pengelap cermin belakang untuk model N ini (tiada pada model biasa).
10 warna badan ditawarkan untuk model ini iaitu Performance Blue Matte, Performance Blue, Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray , Atlas White Matte, Atlas White, Gravity Gold Matte dan Soultronic Orange Pearl. Ia disertai dengan serlahan-serlahan hitam serta jalur-jalur warna oren yang kelihatan seperti merah.
Bagi melengkapkan rupanya, model N penuh ini menerima rim forged aluminium 21-inci berbanding pilihan rim aloi 19- dan 20-inci pada model biasa, dan dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero bersaiz 275/35R21. Brek-brek gergasi juga kelihatan disebalik set rim besar tersebut di mana bahagian hadapan diberikan cakera bersaiz 400 mm dan angkup empat-omboh, dan di belakang dibekalkan dengan cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal.
Ini antara perincian yang boleh nampak dengan mata kasar. Disebaliknya pula, kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang.
Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.
Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.
Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.
Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).
Tork yang diberi untuk memacu gandar hadapan dan belakang adalah sentiasa bervariasi bergantung pada keaadaan dan ia dikawal oleh N Torque Distribution yang boleh dilaras sehingga 11 tahap. e-LSD turut dipadankan pada gandar belakang bagi mengoptimakan prestasi dan kawalan ketika mengambil selekoh.
Pedal pendikit dan pedal brek pada Ioniq 5 N ini juga diambil perhatian dengan dipadankan N Pedal. Sistem ini dihasilkan bagi membolehkan pemandu merasai pengendalian yang responsif seperti jentera rali Hyundai i20 N WRC, menggunakan perisian pintar yang direka bagi memberikan turn-in ke selekoh yang lebih pantas serta tahap sensitif pedal pendikit yang lebih baik.
Sistem ini juga bekerjasama dengan sistem regenerative braking pada Ioniq 5 N ini dimana ia dapat memindahkan berat ketika kereta menyah pecut, seterusnya membolehkan ia masuk ke selekoh dengan lebih tajam.
Pengetahuan dari SS rali juga memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N ini. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan aksi clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.
Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video rasmi pendedahannya ini!
Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu.
Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang!
Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing.
Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV.
Tidak cukup dengan itu, Ioniq 5 N turut menerima sistem N Launch Control untuk anda ‘berlepas’ seperti roket dan disediakan dalam tiga tahap cengkaman berbeza. Sekiranya anda memandu di litar, fungsi Track SOC (state of charge) akan membantu anda mengira kadar penggunaan kuasa untuk setiap pusingan lap.
Jika anda mahu memandu di litar dengan lama, fungsi N race boleh digunakan dan dalam dua mod; mod Endurance akan mengawal kadar kuasa bagi membolehkan anda memandu dengan jarak lebih jauh dalam litar, manakala mod Sprint akan mengutamkan penghasilan kuasa lebih besar tetapi dengan jarak gerak lebih pendek.
Mod-mod dalam litar ini bergantung kepada sistem penyejukkan bateri istimewa Ioniq 5 N. Ia ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut.
Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem regenerative braking digelar N-Brake Regen yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri.
Sistem N-Brake Regen tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, cakera berdiameter 400 mm yang dibekalkan pada model ini menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara.
Ioniq 5 N ini menerima bateri litihium -ion 84-kWj baharu yang dikawal oleh unit inverter dua-peringkat. Jarak gerak untuk model ini masih belum diumum, namun bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 18-minit menerusi pengecas pantas DC 180 kW. Ia masih menampilkan fungsi V2L (vehicle-to-load) bagi membolehkan kuasa elektriknya digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik yang lain.
Untuk kabin, Ioniq 5 N ini menerima roda stereng rekaan baharu dengan logo N serta butang-butang mod pemanduan serta mod N Grin Boost. Ia juga diberikan konsol tengah berbeza yang dipanjang bahagian bawah supaya lebih kuat, serta meneriam pelapik untuk sokongan lutut.
Ia juga diberikan tempat duduk bucket yang direka 20 mm lebih rendah dari biasa dan ‘memeluk’ badan pemandu ketika meredah selekoh dengan laju. Motif-motif rekaan chequered flag juga boleh dilihat pada bahagian dalaman ini seperti pada scuff plate, pedal aloi dan juga perehat kaki.
The post Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS! appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments