Selepas dibuka untuk tempahan sejak Jun lalu, UMW Toyota Motor (UWMT) akhirnya melancarkcan secara rasmi model MPV kompak tujuh-tempat duduk Toyota Veloz untuk pasaran tempatan. Hanya satu varian ditawarkan, ia dijual pada harga RM95k.
Seperti yang ramai sudah maklum, Veloz ini merupakan pengganti kepada model Avanza yang sudah terlalu lama berada dalam pasaran. Dan, Veloz juga merupakan “saudara” kepada Perodua Alza 2022 yang diperkenalkan Julai lalu. Dan untuk itu, antara keduanya berkongsi banyak persamaan.
Sama seperti Alza, Toyota Veloz menggunakan reka bentuk dan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama, serta berkongsi sistem janaan kuasa — enjin 2NR-VE 1.5 liter empat—silinder NA berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Transmisi juga sama, D-CVT automatik. Ini model kedua selepas Aruz/Rush yang menjadi model “kembar” yang dikeluarkan oleh dua jenama ini untuk pasaran tempatan.
Walaupun nampak sama, tapi sebenarnya tak serupa. Terdapat banyak perbezaan antara kedua model terbabit. Pertama wajah depannya berlainan. Veloz hadir dengan rekaan hud yang lain. Lampu utama pula lebih tirus dengan adanya jalur position light/lampu isyarat di dalamnya, serta tulisan Veloz di bahagian tepi lampu — ini sentuhan-sentuhan rinci yang menjadikan Veloz lain berbanding Alza yang sudah kita lihat sebelum ini.
Penting juga untuk disebut, Veloz datang dengan lampu DRL LED yang terletak di sudut bamparnya. Ini ciri yang khusus untuk Veloz pasaran Malaysia: bahkan versi di Indonesia juga tiada ciri DRL yang sama ini. Bamparnya juga hadir dengan rekaan yang tak sama, dengan yang paling ketara kelihatan ialah kemasan krom T yang ada. Rekaan bukaan serta perincian bahagian gril juga berbeza, dengan Veloz tampil dengan kemasan hitam berkilat yang luas.
Dari sisi, Veloz hadir dengan rim 17-inci (manakala bagi Alza AV hanya dengan saiz 16-inci). Panel bahagian fendernya juga berbeza rekaan yang ditampilkan terutama untuk bahagian lengkungnya: lengkung belakang diberi kemasan body cladding plastik dalam warna badan. Jadi, kalau ada yang berangan untuk convert wajah Alza kepada Veloz atau sebaliknya, itu akan memerlukan banyak kos.
Bahagian cermin sisinya juga tak sama — selain kamera, Veloz turut menempatkan lampu dengan pancaran logo ke bahagian permukaan tanah. Jalur krom dari lampu depan juga boleh dilihat sambungannya sampai ke belakang. Untuk visor tingkap, Veloz datang standard dengan aksesori berkenaan dan tidak perlu ditambah berasingan. Tidak lupa, ciri bukaan pintu keyless untuk Veloz juga boleh dilakukan untuk sebelah penumpang, tidak hanya untuk sebelah pemandu seperti Alza.
Satu lagi pilihan yang penting untuk disebutkan, Veloz ditawarkan untuk dimiliki dalam versi dua tona warna: warna badan dan bumbung hitam, dan pilihan ini akan memerlukan pelanggan menambah kos sebanyak RM1,300. Di bumbungnya, landasan yang kelihatan itu bukan hiasan semata-mata: ia boleh digunakan dan mampu tanggung beban sehingga 75 kg. Seperkara lagi, Veloz dan Alza berbeza ketinggian dari tanah — Veloz ada kelebihan 30 mm ketinggian dengan 190 mm jarak dari tanah, sementara Alza berada di kedudukan lebih rendah dengan 160 mm.
Di belakang, Lampu LED dalam jalur kelebaran penuh membezakan Veloz daripada Alza. Tulisan nama Veloz juga lebih besar dan mudah kelihatan, terletak di bahagian tengah. Di belakang ini, sebagai pilihan dengan tambahan kos RM380 adalah ciri perakam video digital (DVR) turut ditawarkan. Bampar juga sama menempatkan perbezaan, dengan bahagian kemasan bawah pada Veloz ini rekaannya berlekuk, manakala hanya rata pada Alza AV.
Ruang dalam juga tidak terlepas daripada perbezaan. Pertama, kombinasi warna hitam dan kelabu cerah pada Veloz turut melihatkan bahagian soft touch seperti pada bahagian glove box dan juga perehat lengan di panel pintu. Di panel yang sama dan juga konsol tengah turut dihadirkan ciri lampu suasana untuk menjadikan kabin rasa lebih premium.
Skrin sembilan-inci di tengahnya pula selain menggunakan sistem antaramuka yang lebih cantik dan lancar, turut datang dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ini menjadi satu kelebihan pada Veloz. Sedikit di bawahnya terletak suis kawalan pendingin yang juga berbeza — Veloz ada ciri kawalan automatik untuk pendinginnya, dengan rekaan juga berlainan.
Satu lagi kelebihan Veloz, di konsol tengahnya juga disediakan ruang pengecasan tanpa wayar. Namun, satu kekurangannya yang lain adalah Veloz tidak ada suis central lock di tengah-tengah: kawalan untuk kunci pintu perlu dilakukan terus melalui tombolnya di bahagian pembuka pintu di panel sisi.
Lagi ciri yang menyenangkan untuk Veloz adalah stereng dengan larasan teleskopik – yang pada Alza hanya diberikan larasan atas dan bawah, tiada ciri untuk mendekatkan stereng kepada pemandu. Selain itu, kerusi Veloz adalah daripada campuran balutan kulit dan fabrik yang dalam kebanyakan waktu, dirasakan lebih selesa.
Di tempat duduk belakang, rekaan poket di belakang penyandar kerusi depan ada sedikit perbezaan untuk Veloz. Ia juga tampil dengan rekaan penyandar tersebut yang melengkung ke dalam, memberikan sedikit lagi ruang tambahan untuk merehatkan kaki penumpang belakang.
Selebihnya, saiz dan ukuran Veloz adalah sama identik dengan Alza, dengan ukuran berikut: 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,750 mm. Dari segi keselamatan juga Veloz tampil dengan ciri yang sama dengan Alza. Ciri seperti AEB, amaran penukaran lorong serta kawalan melayar adaptif ada disertakan sekali.
The post Toyota Veloz 2022 dilancar di Malaysia — MPV kompak kembar Alza, satu varian, 1.5L 106 PS/138 Nm; RM95k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments