Laman automotif dari Vietnam, Autopro melaporkan bahawa Honda bakal melancarkan hot-hatch generasi baharu Honda Civic Type R di negara berkenaan ketika berlangsungnya Vietnam Motor Show (VMS) 2022 yang bakal bermula esok, 26 Oktober. Ini bermakna Vietnam merupakan negara pertama di pasaran Asia Tenggara menerima model tersebut, dan berkemungkinan besar ia turut akan dijual di pasaran ASEAN yang lain termasuk Malaysia.
Portal itu turut menyatakan bahawa Honda Civic Type R generasi FL5 ini terus akan dijual selepas dilancarkan, dan pelanggan pertama yang membelinya akan menerima unit mereka selepas VMS 2022 berakhir pada 30 Oktober 2022. Ia dijangka akan dijual di Vietnam pada harga di bawah 2 billion Dong (RM382k).
Tidak seperti Civic Type R FK2 dan FK8 sebelum ini yang dikilangkan di Swindon, United Kingdom, Civic Type R FL5 kembali dihasilkan semula di Jepun. Ini kerana dengan langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik, kilang Honda di Swindon berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu.
Honda Civic Type R FL5 ini telah didedahkan di Amerika Syarikat dan Jepun pada Julai lalu. Ia diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback dan masih dijana oleh enjin K20 2.0 liter VTEC Turbo, tetapi kali ini menjana kuasa lebih besar iaitu 330 PS (326 hp) pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm, berbanding 320 PS (316 hp) dan tork 400 Nm pada FK8.
Ini menjadikan Civic Type R FL5 ini sebagai Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, dan ia masih menyajikan resipi tradisi Type R – hanya memacu roda hadapan dengan pilihan tunggal kotak gear manual enam-kelajuan yang dilengkapi LSD jenis helical.
Sebelum ini Honda Malaysia pernah membawa dua model Civic Type R secara rasmi ke pasaran tempatan iaitu model FD2R pada tahun 2007 dengan harga RM199,800, diikuti FK8R pada tahun 2017 dijual pada harga RM320,000. Agak-agak bila FL5 ini akan sampai ke Malaysia? Berapa pula harga jualannya nanti?
GALERI: Honda Civic Type R 2023
The post Honda Civic Type R FL5 bakal tiba di ASEAN; Vietnam dapat dulu, bakal dilancarkan esok di VMS 2022! appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments