Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta

Bentley Flying Spur Hybrid kini tiba di Malaysia, dan ini merupakan penawaran model plug-in hybrid buat pertama kalinya jenama itu. Diumumkan pada Julai 2021, model ini menyertai SUV Bentayga Hybrid yang hadir dilengkapi dengan motor elektrik.

Motor elektrik berkenaan terletak di antara transmisi dan enjin, dan membekalkan sebanyak 136 PS dan 400 Nm tork, dan ia dikuasakan oleh bateri lithium ion 18 kWh. Dengan motor elektrik yang sarat janaan tork, ini membolehkan enjin dalam kapasiti lebih kecil digunakan.

Kereta ini memanfaatkan enjin 2.9 liter V6 dengan janaan 416 PS dan 550 Nm tork. Seperti juga model V8, dua pengecas turbonya serta catalytic convertor utama ditempatkan di dalam enjin V berkenaan. Penyuntik bahan api dan palam pencucuh telah diletakkan di kedudukan tengah dalam setiap kebuk pembakaran untuk mendapatkan corak semburan yang optimal. Janaan kuasa keseluruhan limosin ini adalah 544 PS dan 750 Nm.

Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat, hanya 0.2 saat lebih lambat berbanding Flying Spur V8. Laju maksimumnya adalah 285 km/j, dan mampu bergerak sejauh 805 km dengan kemampuan untuk pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 40 km mengikut kitaran WLTP.

Sebuah butang khusus membolehkan pemandu untuk memilih antara tiga E Mode untuk pemanduan — EV Drive, Hybrid Mode dan Hold Mode. EV Drive akan digunakan sebaik sahaja kereta ini dihidupkan. Dengan tumpuan lebih kepada pengalaman pemanduan elektrik, mod berkenaan sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan perjalanan singkat.

Mod Hybrid pula memaksimumkan kecekapan dan jarak menggunakan data daripada sistem tunjuk arah. Dalam mod ini, kereta akan menggunakan anggaran E-Mode dan enjin melayar dan dalam masa sama mengikut arah dari navigasi. Masukkan tujuan dan kereta akan memilih mod pemanduan yang bersesuaian bagi setiap bahagian perlajanan itu, mengira penggunaan bateri dan pengecasan yang lebih cekap serta menyimpan tenaga elektrik untuk bahagian perjalanan yang lebih memerlukan, misalnya ketika di dalam bandar.

Hold Mode pula mengimbangkan kuasa enjin dan elektrik untuk menyediakan voltage tinggi bagi pengecasan bateri untuk kegunaan kemudian, sekaligus menjimatkan tenaga elektrik. Ini menjadi mod tetap sekiranya pemandu memilih Sport untuk memberikan lebih lonjakan.

Di luar, versi hibrid ini kelihatan sama sahaja dengan Flying Spur lainnya. Hanya ada tanda kecil yang membezakan, seperti lencana Hybrid di fender depan dan bukaan slot pengecas di fender kiri belakang.

Limosin mewah Bentley Flying Spur Hybrid ini dijual dari harga RM945,000. Ini tidak termasuk duti, cukai dan pendaftaran. Dengan semua kos berkenaan, ia mungkin berada dari RM2.3 juta. Harga akhirnya mungkin juga berbeza jika pelanggan memilih untuk mendapatkan spesifikasi peribadi — pilihan tingkat kemasan berbeza, Mulliner Driving Specification, kemasan Blackline dan pilihan Mulliner lainnya.

Audio pula kereta ini menggunakan sistem standard 650W dengan 10-pembesar suara, dengan pilihan lebih tinggi dari Bang & Olufsen (1,500W, 16 pembesar suara) dan yang paling atas, dari Naim dengan 2,200W 19-pembesar suara.

Bentley Kuala Lumpur kini mula mengambil tempahan untuk model berkenaan, dan memaklumkan bahawa dengan kehadiran versi hibrid ini menandakan bahawa prasarana pengecasan untuk pasaran Malaysia kini semakin matang.

The post Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments