Toyota Harrier PHEV dilancar di Jepun – bateri 18.1 kWh, 306 PS, pacuan E-Four, jarak gerak EV 93 km

Toyota telah melancarkan satu varian plug-in hybrid baru untuk Harrier generasi keempat dan akan mula dijual di Jepun 31 Oktober tahun ini. Varian ini menyertai varian petrol dan hibrid sedia ada sekarang yang sudah ditawarkan sejak Jun 2020 di negara itu.

Penggerak PHEV pada Harrier ini sama seperti yang digunakan pada RAV4 Prime, dan terdiri daripada enjin petrol empat silinder NA 2.5 liter A25A-FXS yang mampu menghasilkan 177 PS (174 hp) pada 6,000 rpm dan tork 219 Nm pada 3,600 rpm.

Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi CVT serta motor elektrik 5NM yang berkemampuan 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 270 Nm. Kemudiannya terdapat satu lagi motor elektrik 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan 121 Nm pada gandar belakang, menjadikan Harrier PHEV ini pacuan empat roda (E-Four).

Kuasa untuk motor elektrik ini datang daripada bateri lithium ion berkapasiti 18.1 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 93 km mengikut ujian yang dipantau kementerian tanah, insfrastruktur, pengangkutan dan pelancongan Jepun (MLIT). Kadar penggunaan bahan api WLTC yang dicatat adalah 20.5 km/l.

Menurut Toyota, apabila menggunakan input AC 3.2 kW (200 V/16 A), bateri Harrier ini akan mengambil masa lima jam 30 minit untuk penuh. Untuk mod pemanduan, ada tiga disediakan, iaitu EV, Auto EV/HV dan HV. Dalam mod EV, kereta akan menggunakan tenaga bateri sahaja selagi boleh.

Dalam maklumat awal yang didedahkan, Toyota menyatakan Harrier PHEV ini mencatat berat 1,950 kg, iaitu 300-400 kg lebih berat berbanding varian petrol dan hibrid. Kemudiannya, Harrier PHEV ini hanya ditawarkan dalam gred Z sahaja, sementara varian lain disediakan dalam tiga gred (Z, G dan S).

Tanda rekaan khas untuk model PHEV ini adalah termasuk gril yang mempunyai corak berlian di tengah, serta lencana khas pada panel badan. Turut disediakan adalah sistem pembekal kuasa luar yang boleh memberikan 1,500 watt (output AC pada 100 volt)

Selain pengenalan varian PHEV ini, Toyota turut menambah skrin sesentuh sistem infotainmen serta panel instrumen digital baru pada model ini, dan kedua-duanya berukuran 12.3 inci. Pakej Toyota Safety Sense kini telah ditambah elok dengan fungsi baru yang boleh mengesan kenderaan dari hadapan apabila membelok ke kanan di persimpangan serta pejalan kaki yang melintas apabila membelok.

Harga Harrier yang dipertingkat di Jepun bermula 3.128 juta yen (RM99,853) dan pergi sehingga 6.2 juta yen (RM197,918), iaitu untuk varian PHEV yang terletak di atas sekali.

The post Toyota Harrier PHEV dilancar di Jepun – bateri 18.1 kWh, 306 PS, pacuan E-Four, jarak gerak EV 93 km appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments