Semua unit Lamborghini yang diproduksi sehingga 2024 sudah habis dijual – CEO Stephan Winkelmann

Anda baru nak buat tempahan untuk beli Lamborghini baru? Kereta baharu anda mungkin akan sampai lagi dua tahun atau lebih. Ini kerana CEO Lamborghini, Stephan Winkelmann berkata kepada AFP dan dilaporkan oleh France24 bahawa kesemua unit kereta yang akan diproduksi oleh jenama berkenaan sehingga 2024 sudahpun habis dijual!

Beliau menyatakan bahawa permintaan terhadap produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya kini adalah sangat tinggi, dan senarai tempahan kini penuh sehingga 18 bulan ke hadapan. Model siri produksi terkini dari Lamborghini adalah Urus Performante, iaitu SUV yang lebih berkuasa dan lebih ringan dari Urus standard, serta telah mencatatkan rekod SUV produksi terpantas mendaki bukit di Pikes Peak International Hill Climb, Amerika Syarikat.

“Kami ada mempunyai lebih ramai pelanggan yang mula berminat dengan Lamborghini kerana mereka percayakan jenama ini, mereka nampak betapa cantiknya, betapa tingginya prestasi kereta-kereta tersebut,” kata Winkelmann kepada AFP. Beliau turut menambah bahawa ekonomi global yang stabil juga menjadi pemangkin kepada permintaan yang tinggi ini.

Selain dari permintaan yang tinggi, Lamborghini turut tidak terkecuali dari terkena tempias masalah bekalan cip semikonduktor yang melanda hampir semua pembuat kereta, sekaligus turut menyebabkan tempoh menunggu yang lebih lama ini, tulis France24.

Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Lamborghini menawarkan model yang dijana oleh bahan api sepenuhnya. Tahun hadapan semua model baharu yang diperkenalkan akan menerima sistem plug-in hybrid, dengan model pertama menerima sistem PHEV tersebut akan didedahkan tahun ini. Dan bermula 2024 kesemua model baharu Lamborghini hanya akan digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

Sebelum ini Lamborghini dilaporkan memperolehi prestasi kewangan setengah tahun terbaik pernah dicatatkan, dengan rekod jualan dan keuntungan mencecah margin operasi 32% dan keuntungan operasi meningkat kepada 425 juta euro (RM1.9 bilion) dari 5,090 kereta yang dijual, tulis France24 lagi.

The post Semua unit Lamborghini yang diproduksi sehingga 2024 sudah habis dijual – CEO Stephan Winkelmann appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments