PM umum kerajaan cadang bina litar Drag untuk setiap negeri bagi bangunkan sukan permotoran negara

Ketika merasmikan acara RXZ Members 4.0 Tahun 2022 yang berlangsung di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak hari ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri.

Menurut beliau dalam laporan Bernama, cadangan ini dibuat dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara, dan ia akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.

“Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya dan menambah apabila litar-litar yang dicadangkan itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Dalam perkembangan sama, Ismail juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya, di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional. Tambahnya lagi, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab-kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

“Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal… Ketika banjir banyak kelab motor terlibat dengan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan… dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

The post PM umum kerajaan cadang bina litar Drag untuk setiap negeri bagi bangunkan sukan permotoran negara appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments