Malaysia tidak akan anjur semula F1 di litar Sepang dalam masa terdekat; ciapan hanya usikan ringan

Sabtu lalu kecoh seolah-olah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyiarkan teaser di laman Twitter mereka bahawa perlumbaan Formula 1 mungkin akan kembali ke Malaysia. Ciapan yang berbunyi “hmm..?” dan diikuti ikon motosikal dan kereta lumba berkenaan dibuat selepas FIA mengumumkan bahawa Grand Prix Rusia tidak akan diadakan tahun ini kerana tindakan negara berkenaan yang melancarkan perang terhadap Ukraine.

Oleh itu ciapan berkenaan seolah-olah bakal menyaksikan F1 akan kembali ke Malaysia tahun ini bagi menggantikan pusingan yang ditinggalkan oleh Rusia tersebut. Walau bagaimanapun, sumber dalaman SIC menyatakan bahawa khabar angin berkenaan adalah tidak berasas.

Sebaliknya, paultan.org dimaklumkan bahawa ciapan berkenaan hanyalah usikan ringan yang dibuat oleh pasukan media sosial SIC. Buat masa sekarang masih tiada rancangan untuk SIC menganjurkan perlumbaan Formula 1 selepas kontrak perlumbaan tersebut tidak diperbaharui untuk 2018, kerana pulangan yang rendah untuk negara berbanding kos penganjurannya yang tinggi.

Walau bagaimanapun kemungkinan untuk SIC menganjurkan semula perlumbaan-perlumbaan berprestij seperti itu tidak diketepikan terus. “Untuk Formula 1 kembali ke SIC semula adalah bergantung masing-masing kepada usul dan juga kelulusan kerajaan Malaysia,” kata CEO SIC Azhan Shafriman Hanif.

Situasi pandemik Covid-19 juga telah memberikan impak kepada SIC kerana banyak perlumbaan-perlumbaan utama antarabangsa terpaksa dibatal penganjurannya di sini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Sesi Ujian Musim Sejuk MotoGP yang dibuat di SIC bulan lalu membolehkan pihak pengurusan litar berkenaan menunjukkan dan menguji prosedur operasi standard mereka bagi acara-acara antarabangsa.

Buat masa sekarang kalendar SIC dipenuhi dengan acara-acara perlumbaan tempatan seperti Perlumbaan Merdeka Malaysia Speed Festival (MSF), Malaysian Championship Series (MCS), Malaysian Cub Prix, Malaysian Superbike Championship, Sepang 1000 km Race (S1K). SIC juga kini bersedia untuk menganjurkan semula pusingan MotoGP di Malaysia yang bakal dilansungkan pada hujung Oktober nanti.

The post Malaysia tidak akan anjur semula F1 di litar Sepang dalam masa terdekat; ciapan hanya usikan ringan appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments