Malaysia-Singapura: Tiada kutipan tol di Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu bermula 1 April

Kerajaan telah mengumumkan bahawa kesemua kenderaan akan dikecualikan dari bayaran tol di kedua-dua pintu masuk darat antara Malaysia dan Singapura selama seminggu bermula 1 April ini, serentak dengan pembukaan sempadan berkenaan kepada umum, lapor Malay Mail.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob menyatakan bahawa kutipan tol di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru dan juga Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri akan dihentikan sementara dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya pengecualian tol untuk kesemua jenis kenderaan berkenaan adalah khusus untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui Touch ‘n Go, dan ia sah untuk kenderaan yang melalui kedua-dua plaza tol berkenaan dalam tempoh tujuh hari tersebut.

Beliau menambah bahawa keputusan untuk mengecualikan sementara bayaran tol ini adalah untuk memastikan kelancaran trafik di kedua-dua plaza tol tersebut ketika sempadan dibuka semula. Inisiatif ini adalah tambahan kepada pengecualian caj jalan raya (CJ) kepada semua kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang masuk ke Johor melalui Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu, seperti yang diumumkan tempoh hari.

Menurut Ismail lagi, keputusan untuk mengecualikan bayaran tol ini akan memberikan manfaat kepada lebih dari 300,000 pemilik kenderaan yang merentas sempadan Malaysia-Singapura, dengan PLUS Malaysia menganggarkan 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia setiap hari menerusi Tambak Johor dan Linkedua apabila pintu sempadan berkenaan dibuka.

The post Malaysia-Singapura: Tiada kutipan tol di Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu bermula 1 April appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments