Honda secara rasminya telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan CR-V model baru di Eropah dengan pilihan enjin hibrid serta buat pertama kalinya, plug-in hybrid (PHEV). SUV generasi keenam ini nanti akan mula dijual di benua itu pada tahun 2023, dengan pengenalan pertamanya dijangka berlaku seawal hujung tahun ini.
Bersama dengan pengumuman itu, tiada sebarang perincian lain, tetapi kita sudah tahu beberapa perkara tentang kenderaan tersebut berserta rupanya. Ini kerana satu lukisan paten 3D telah tersebar dalam media sosial bulan lalu dan menunjukkan ia mendapat banyak pengaruh daripada HR-V terbaru.
Antara yang boleh dilihat adalah lampu utama nipis dan lebar, gril lebih besar, jalur kemasan gril yang masuk pada kedua-dua belah lampu, bentuk L pada bucu bampar, lampu belakang jenis menegak serta kemasan plastik di sekeliling ruang roda dan bawah badan.
Kita juga tahu kemungkinan besar CR-V baru ini masih akan terus menggunakan enjin sekarang, iaitu unit 1.5 liter VTEC Turbo (mungkin dengan kuasa yang lebih tinggi) bersama padanan transmisi CVT, serta penggerak hibrid e:HEV yang mungkin sama seperti Civic.
Versi plug-in hybrid adalah sesuatu yang baru, meskipun sebenarnya versi e:PHEV bagi CR-V sudah dijual di China sejak tahun 2020. Kereta itu menggabungkan enjin hibrid Accord dengan bateri lithium ion 17 kWh yang lebih besar, dan mampu memberikan jarak gerak elektrik 85 km.
Apabila keluar CR-V baru di Eropah nanti, ia boleh bersaing dengan Toyota RAV4 plug-in hybrid, tetapi model Toyota tersebut mempunyai jumlah kuasa keseluruhan yang lebih tinggi, iaitu 306 PS dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa enam saat.
The post Honda CR-V 2023 sah akan dapat pilihan hibrid, PHEV appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments