Harga Toyota Hilux di Malaysia naik sehingga RM3k – bermula RM95,880; tiada lagi model 2.4G MT 4×4

UMW Toyota Motor (UMWT) mula mengeluarkan harga-harga baharu untuk model-model yang dijual di bilik pameran, salah satunya adalah trak pikap Toyota Hilux. Harga baharu ini sebenarnya telah pun efektif bermula 1 Mac 2022, dan semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Dalam senarai harga baharu ini, kesemua varian dilihat menampilkan harga sekitar RM3,000 lebih mahal dari sebelumnya. Oleh itu, Toyota Hilux kini dijual pada harga bermula RM95,880 untuk varian Single Cab 2.4 MT 4×4 (sebelum ini RM92,880), diikuti RM111,880 (RM108,880 sebelumnya) untuk model Double Cab 2.4E AT 4×4.

Model Double Cab 2.4V AT 4×4 pula dijual pada harga RM136,880 (sebelum ini RM133,880), manakala varian tertinggi 2.8 Rogue AT 4×4 pula berharga RM149,880 (sebelum ini RM146,880). UMWT turut mengesahkan bahawa varian 2.4G MT 4×4 tidak lagi dijual.

Bagi yang belum mengetahui, Toyota Hilux tidak menerima sebarang insentif pengecualian cukai jualan kerana trak pikap diklasifikasi sebagai kenderaan perdagangan. Hilux masih diberikan perlindungan waranti selama lima tahun atau 150,000 km yang mana sampai dahulu.

Spesifikasi juga tidak berubah di mana varian tertinggi 2.8 Rogue satu-satunya model yang dijana model enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silnder turbodiesel berkuasa 204 PS dan 500 Nm. Manakala untuk varian lain, Hilux menerima enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel berkuasa 150 PS dan 400 Nm.

Kesemua model dengan kotak gear automatik (AT) menerima transmisi enam kelajuan, dan model-model dengan kotak gear manual (MT) juga diberikan transmisi enam-kelajuan.

The post Harga Toyota Hilux di Malaysia naik sehingga RM3k – bermula RM95,880; tiada lagi model 2.4G MT 4×4 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments