Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT

Geely telah pun mendedahkan model Binrui Cool untuk pasaran China, iaitu versi lebih sporty untuk sedan segmen-C, Geely Binrui. Model ini dilaporkan akan dijual di pasaran berkenaan pada suku kedua tahun ini. Seperti nama dan rupanya, Binrui Cool disasarkan untuk pelanggan yang lebih muda, dan bakal dijual dengan harga bermula sekitar 79,800 yuan (RM52,776).

Berbanding model standard Binrui yang masih mengenakan gril Expanding Cosmos, Binrui Cool ini diberikan muka dengan falsafah rekaan “Racing Storm” baharu. Ia bukan sahaja melibatkan penukaran gril yang lebih nipis, malah diberikan lampu hadapan dengan grafik dalaman menampilkan tiga jalur LED pada bahagian ‘kening’.

Ia juga menerima bahagian ‘mulut’ yang lebih besar dan bersegi pada bahagian bampar hadapan, serta diberikan spoiler bawah yang agak agresif dan lebar, bersama liang pengambilan udara dengan kemasan merah. Juga dapat diperhatikan, Binrui Cool ini diberikan lencana “F” pada bahagian gril, kerana Binrui Cool adalah model lebih sporty untuk Binrui F Sport (varian paling sporty untuk Binrui biasa), menurut laporan CarNewsChina.

Di belakang, Binrui Cool menerima lampu belakang yang juga menampilkan grafik tiga jalur berkembar bagi diselarikan dengan rekaan hadapan. Manakala pada bampar, kemasan diffuser juga direka lebih besar dan agresif, menampilkan kemasan seakan gentian karbon serta menyerlah dua tip ekzos berbentuk oval yang besar dalam kemasan krom.

Profil asas bahagian sisi Binrui Cool ini masih lagi nampak sama, tetapi ia kini menerima kemasan-kemasan lebih garang termasuk rim aloi 17-inci berwarna hitam, angkup brek diserlahkan dengan terang, skirt sisi dengan splitter udara serta jalur merah di bawahnya, dan juga spoiler belakang bersaiz besar pada penutup but belakang.

Dalam kabin, Binrui Cool nampaknya turut diberikan papan pemuka yang berbeza. Jika Binrui standard diberikan papan pemuka yang direka seakan papan pemuka dari Boyue/Proton X70, Binrui Cool ini pula diberikan papan pemuka dengan rekaan lebih bersegi, mendatar dan lebih ringkas.

Ia menerima paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, dan nampak seperti bersambung dengan skrin sesentuh infotainmen yang terletak di tengah dengan posisi berdiri sendiri. Kabin Binrui Cool ini juga dihasilkan fokus untuk pemandu, dengan kesemua suis kawalan diletakkan agar mudah dicapai oleh pemandu.

Ia juga diberikan tempat duduk lebih sporty, serta diberikan upholsteri gabungan polyurethane hitam, kulit dan material sued palsu untuk keseluruhan kabin, bersama serlahan benang oren. Logo-logo “F” juga boleh ditemui pada panel pintu dan juga pada tombol penukar gear.

Berbanding Binrui biasa yang hanya dijana oleh enjin 1.4 liter turbo berkuasa 141 PS dan tork maksima 235 Nm, Binrui Cool ini nampaknya diberikan enjin 1.5 liter empat silinder berkuasa 181 PS. Enjin empat silinder baharu ini dilaporkan turut akan digunakan pada varian baharu Geely Binyue (kembar kepada Proton X50) yang djuga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, bagi memacu roda hadapan. Geely Binrui dihasilkan dari platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang dibangunkan oleh Geely bersama Volvo. Ia turut menjadi asas kepada SUV segmen-B Geely Binyue/Proton X50, serta sedan segmen-B Geely Emgrand.

Platform yang sama turut akan digunakan oleh Proton untuk membangunkan sedan baharunya bagi menggantikan Proton Preve, bakal digandingkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik yang akan menggantikan enjin 1.6 liter turbo CFE.

The post Geely Binrui Cool didedah di China – bermula RM53k, 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS, kotak gear DCT appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments