Triumph lengkapkan ujian Fasa 3 motosikal elektrik TE-1 – projek diteruskan dengan ujian atas jalan

Motosikal elektrik prototaip Project TE-1 pertama kali didedahkan oleh Triumph pada tahun 2019, dan kini ia telah pun melengkapkan ujian Fasa 3. Melaluinya, pengeluar dari United Kingdom ini mahu menunjukkan hala tuju masa hadapan mereka dalam dunia motosikal elektrik, dan bersaing dengan jenama lain seperti Zero Motorcycle, Energica ataupun juga Harley-Davidson LiveWire.

Project TE-1 adalah satu kolaborasi antara Triumph Motorcycles, Williams Advanced Engineering, Integral Powertrain Ltd, dan WMG University of Warwick, dengan dana dari Jabatan Kenderaan Sifar Emisi melalui Innovate UK. Ujian Fasa 3 melibatkan penghasilan prototaip sebenar yang menggabungkan semua rangka, pek bateri serta pemacu roda.

Daripada motor elektrik, kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem tali sawat oleh Gates Carbon, sementara Wiiliams pula membekalkan pek bateri WAE, unit pengawal kenderaan, converter DC/DC, penyejukan dalaman, soket pengecas serta perumah karbon untuk TE-1 ini.

Pek bateri 360 volt, 15 kWh yang digunakan pada TE-1 mampu menghasilkan kuasa sehingga 170 kW, dengan kuasa berterusan sebanyak 90 kW. Jumlah ini bersamaan dengan 174 hp, atau 107 hp secara berterusan, sementara untuk menambah semula kuasa bateri, ia boleh menerima pengecas pantas yang jika digunakan dalam masa 20 minit, boleh menaikkan tahap bateri dari kosong ke 80%.

Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal elektrik ini adalah termasuk angkup brek M50 Monobloc daripada Brembo, serta suspensi daripada Ohlins bersama unik belakang yang masih lagi merupakan satu prototaip.

Selepas ini, TE-1 akan melalui pula ujian Fasa 4 yang melibatkan ujian bergerak atas jalan untuk melaras pendikit, pemetaan prestasi serta kuasa dan tork, manakala ujian di atas litar pula akan digunakan untuk melaras bahagian lain seperti suspensi, pecutan, brek, penjanaan semula kuasa brek, kawalan cengkaman serta anti-wheelie.

The post Triumph lengkapkan ujian Fasa 3 motosikal elektrik TE-1 – projek diteruskan dengan ujian atas jalan appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments