Proton catat jualan 4,453 unit pada Jan 2022 – stok kurang disebabkan banjir, hanya 76 Saga terjual

Banjir besar yang melanda Selangor pada 18 Disember 2021 turut memberikan impak besar pada jualan Proton untuk bulan Januari. Ia menyaksikan penurunan yang mendukacitakan, hanya sekitar 4,453 unit kenderaan berjaya didaftarkan oleh Proton (termasuk eksport) untuk bulan lalu, berbanding 14,187 unit yang direkodkan pada Disember tahun lalu yang membantu mencatatkan angka jualan tahunan tertinggi sejak 2014.

Pengurangan sebanyak 25.3% daripada bulan yang sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3%, serta melibatkan penyusutan sebanyak 68.6% berbanding Disember lalu.

Proton berkata, biar pun kilang pemasangannya di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas, namun masalah ini timbul melibatkan pembekal komponennya yang berhadapan dengan masalah untuk menghantar stok yang diperlukan. Ini memberikan kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Tambahan pula, pegangan stok yang rendah dari bulan sebelumnya kerana Proton tengah berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

Penyusutan rekod ini banyak datangnya dari Saga yang merupakan model paling laris Proton, dengan mencatatkan jualan hanya 76 unit sahaja, diikuti dengan Exora sebanyak 54 unit. Sementara itu, SUV X50 dan X70 pula mencatatkan jualan masing-masing sebanyak 2,601 unit dan 799 unit. Manakala 694 unit dicatatkan oleh Persona dan 229 unit dari jualan Iriz.

“Selepas menamatkan tahun 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi Proton. Situasi kekurangan bekalan kami menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit yang dikeluarkan, yang seterusnya memberi kesan yang teruk bagi pengedar. Kami bersyukur kerana pengeluaran untuk semua model telah berjaya disambung semula pada bulan Januari, walaupun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa. Kami yakin dapat mencapai sasaran tahun 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dalam hal lain, Proton turut mengumumkan lebih 1,200 kenderaan jenama terbabut yang terjejas banjir telah diterima di pusat servis rasmi syarikat. Ia kemudiannya dibahagikan kepada empat kategori, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, sebelum penilaian dibuat dan pembaikan dijalankan.

“Proton ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat servis rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh. Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” tambah Roslan lagi.

Untuk tahun 2022, CEO Proton Li Chunrong telah mengumumkan pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 150,000 unit. Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

The post Proton catat jualan 4,453 unit pada Jan 2022 – stok kurang disebabkan banjir, hanya 76 Saga terjual appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments