Pemohonan pengecualian fi cukai jalan EV, kenderaan CKD modifikasi untuk OKU dibuka esok hingga 2025

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini melaksanakan pemberian insentif pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan sepenuhnya kepada Kategori Kenderaan Motor Elektrik (EV) bermula awal Januari lalu hingga 31 Disember 2025. Bukan itu sahaja, turut menikmati pengecualian fi LKM itu adalah kenderaan yang membawa atau dimiliki oleh Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Dr Wee, bagi Kenderaan Motor Elektrik, pengecualian fi LKM hanyalah melibatkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja, sama ada yang dikuasakan dengan Bateri atau Fuel Cell sahaja. Pengecualian ini tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel. Tempoh pengecualian dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

“Untuk Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU), pengecualian fi LKM sepenuhnya hanyalah terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai, pengecualian hanya kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional sahaja.

“Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan/dimiliki oleh ibu bapa/penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM,”katanya menerusi kenyataan yang turut dimuatnaik ke dalam Facebook rasminya sebentar tadi.

Jelas beliau, rebat akan diberikan kepada mana-mana pemilik kenderaan terbabit dengan dua kategori pengecualian berkenaan yang sudah melesenkan kenderaan mereka sama ada LKM baharu atau pembaharuan mulai 1 Januari lalu iaitu sebelum daripada tarikh mula permohonan berkenaan. Di mana pihak terbabit atau wakil masing-masing boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan balik LKM itu dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana yang ditetapkan.

“Orang ramai boleh menghubungi talian perhubungan khidmat pelanggan JPJ bagi mendapatkan lain-lain maklumat dan perincian mengenai pelaksanaan insentif ini,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, ada pemilik EV yang mengadu tidak dapat mendaftarkan kenderaan mereka dengan JPJ, jika mereka ingin menikmati pengecualian cukai jalan 100% tersebut ketika ini. Ia disebabkan pihak JPJ belum diberikan arahan untuk memansuhkan bayaran cukai jalan bagi EV baharu.

The post Pemohonan pengecualian fi cukai jalan EV, kenderaan CKD modifikasi untuk OKU dibuka esok hingga 2025 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments