New York guna kamera untuk saman kereta ekzos bising – denda boleh dikenakan sehingga RM3.6k

Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (DEP) Bandaraya New York di Amerika Syarikat kini sudah pun menggunakan kamera khas untuk mengesan dan memberikan saman bagi kereta-kereta yang menghasilkan bunyi ekzos terlalu bising, lapor Road & Track.

Menurut portal berkenaan, perkara tersebut disedari apabila akaun Facebook Lowered Congress menyiarkan satu notis dari DEP New York kepada seorang pemilik BMW M3 yang menyatakan bahawa keretanya menghasilkan bunyi yang terlalu kuat.

“Saya menulis kepada anda kerana kereta anda telah dikenalpasti menggunakan peredam bunyi yang tidak mematuhi Seksyen 386 Undang-undang Kenderaan dan Trafik, yang melarang bunyi bising yang berlebihan dari kenderaan bermotor. Kenderaan anda telah direkodkan oleh kamera yang mengambil gambar kenderaan dan nombor pendaftaran. Sebagai tambahan, meter bunyi telah merakam tahap desibel ketika kenderaan menghampiri dan melepasi kamera berkenaan,” tulis notis DEP yang dihantar kepada pemilik BMW M3 tersebut

Walau bagaimanapun, saman tidak dikeluarkan serta merta oleh jabatan tersebut. Sebaliknya pemilik M3 berkenaan perlu membawa keretanya untuk diperiksa oleh DEP, dan kemudian diberikan peluang untuk memasang kembali peredam bunyi yang mematuhi undang-undang – lebih kurang sama dengan proses advokasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Malaysia.

Namun sekiranya pemilik tidak hadir ke pemeriksaan yang telah ditetapkan itu, mereka boleh dikenakan saman maksima sehingga USD875 (RM3,663), dengan denda tambahan sekiranya mereka tidak mempedulikan saman berkenaan.

Jurucakap DEP Bandaraya New York turut mengesahkan perkara ini kepada Road & Track dalam atu email yang dibalas, dan menyatakan bahawa ia adalah projek rintis yang telah pun bermula sejak September tahun lalu. Kamera yang digunakan tersebut berfungsi sama seperti kamera perangkap had laju, tetapi diberikan tambahan pengesan tahap bunyi.

Jabatan tersebut turut menjelaskan bahawa program berkenaan akan dinilai semula pada 30 Jun nanti, dan hasil dapatannya akan menentukan sama ada ia akan terus berjalan atau dihentikan. DEP Bandaraya New York turut menyatakan bahawa inisiatif yang mereka lakukan ini tidak ada kaitan dengan inisiatif yang dibuat oleh Gabenor Kathy Hochul untuk mengurangkan pencemaran bunyi di kota itu.

Menurut R&T, September lalu Kathy telah menandatangani undang-undang baharu yang membolehkan pemilik kenderaan dengan bunyi ekzos yang melebihi had dibenarkan disaman dengan nilai USD150 (RM628) sehingga USD1,000 (RM4,187) – tertinggi berbanding negeri-negeri lain di AS.

The post New York guna kamera untuk saman kereta ekzos bising – denda boleh dikenakan sehingga RM3.6k appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments