Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 25% di bawah Pakej Keluarga Malaysia untuk warganegara Malaysia yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity. Diskaun ini telah pun dimulakan sejak 14 Februari lalu dan berlangsung sehingga 31 Disember 2022.
Menurut KTMB, pemberian diskaun ini adalah bagi pembelian minimum empat tiket dalam satu transaksi (dewasa dan kanak-kanak), untuk semua perkhidmatan ETS, Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan menggunakan kod promo KMKTMB2.
Pakej Keluarga Malaysia ini adalah sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi negara dan dalam masa yang sama KTMB mahu terus optimis dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama melalui promosi dirangka khas untuk Keluarga Malaysia, ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB.
Menerusi pakej ini, KTMB turut menyasarkan peningkatan jualan tiket terutama ketika musim cuti sekolah pada Mac ini dan sambutan Aidilfitri pada Mei. Justeru, pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau melalui laman sesawang KTMB.
Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menyambut baik usaha KTMB ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat Keluarga Malaysia. “Mudah-mudahan Pakej Keluarga Malaysia ini dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan perayaan,” kata Dr Wee.
The post KTMB tawar diskaun 25% bagi Pakej Keluarga Malaysia untuk tren ETS, KTM Intercity hingga 31 Dis appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments