KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal bukan-lipat naik tren pada hujung minggu, cuti umum

KLIA Ekspres telah mengumumkan kini para penumpang dibenarkan membawa basikal bukan-lipat, skuter dan e-basikal masuk ke dalam tren pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Ia adalah percuma tetapi tambang hanya dikenakan untuk penumpang sahaja.

Walau bagaimana pun terdapat beberapa syarat yang dikenakan untuk penumpang yang membawa basikal menaiki tren untuk berkayuh ke destinasi tertentu. Pertama, anda yang membawa basikal bersama (tolong sorong/angkat basikal anda, bukannya berkayuh pula dalam stesen ya) perlu menggunakan aisle gate yang lebar untuk masuk ke dalam stesen KLIA Ekspres.

Kemudian, anda perlu memberi laluan terlebih dahulu kepada penumpang lain yang keluar dari tren. Jangan berasak-asak bawa basikal ketika penumpang lain sedang keluar dari tren, bersabarlah terlebih dahulu.

Selain itu, anda hanya dibenarkan menggunakan tangga atau pun lif ketika membawa basikal, penggunaan eskalator adalah tidak dibenarkan sama sekali. Kemudian, anda perlu bersama basikal yang dibawa pada setiap masa ketika berada di dalam tren. Maknanya jangan pula letak basikal di koc pertama, dan anda duduk di koc kedua pula.

Bukan itu sahaja, jangan sesekali meletakkan basikal anda berhampiran pintu masuk/keluar serta jangan menghalang laluan penumpang lain. Anda juga tidak dibenarkan untuk duduk di atas basikal anda ketika di dalam tren. Apa pun, jangan sampai membuatkan penumpang lain berasa kurang selesa bila anda membawa basikal bersama.

Sebelum ini, hanya basikal jenis lipat (atau lebih popular dikenali sebagai foldie bike) dan skuter jenis lipat sahaja yang dibenar dibawa masuk ke dalam tren, pada hari biasa, hujung minggu dan cuti umum. Selain KLIA Ekpres, KTM Berhad juga telah menawarkan perkhidmatan sewa Koc Basikal Ekpres untuk penumpang membawa basikal ke dalam tren untuk ke mana-mana destinasi pilihan.

The post KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal bukan-lipat naik tren pada hujung minggu, cuti umum appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments