Ford Ranger Raptor 2023 Eropah terima enjin kurang berkuasa kerana undang-undang emisi lebih ketat

Semalam Ford telah mendedahkan model generasi baharu trak pikap prestasi tinggi Ranger Raptor 2023 untuk peringkat global. Dan apa yang paling menarik perhatian, sudah tentulah enjin baharu yang dipadankan iaitu unit EcoBoost 3.0L V6 dengan dua pengecas turbo bagi menggantikan enjin diesel 2.0 liter empat silinder bi-turbo pada model terdahulu.

Enjin baharu berkenaan menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm, jauh lebih bertenaga dari enjin sebelum ini yang hanya menjana 213 PS/500 Nm. Pilihan enjin dan juga angka kuasa ini sudahpun disahkan untuk pasaran Australia dan New Zealand, namun untuk pasaran Eropah angka kuasa yang dinyatakan adalah lebih rendah iaitu 288 PS dan 491 Nm dikerah dari enjin V6 yang sama.

Jumlah kuasa yang jauh lebih rendah berkenaan adalah kerana enjin tersebut perlu ditala agar mematuhi undang-undang pencemaran yang jauh lebih ketat di Eropah, lapor Carscoops. “Seperti OEM lain, kami perlu membuat homologasi bagi mematuhi standard emisi Kesatuan Eropah yang lebih ketat,” kata jurucakap Ford kepada portal berkenaan dan menambah bahawa walaupun kuasanya perlu diturunkan, ia masih sekitar 30% lebih berkuasa dari enjin turbodiesel terdahulu.

Dalam pendedahan semalam, pasaran Australia dan New Zealand turut disahkan akan menerima pilihan rim 17-inci dengan beadlock. Malah Ford turut menyatakan bahawa ada pasaran yang masih akan ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.0L yang dibawa dari model sebelumnya.

Ranger Raptor 2023 ini juga menerima kelengkapan lain seperti kotak gear automatik 10-kelajuan, sistem pacuan semua roda yang dilengkapi transfer case dua-kelajuan yang dikawal secara elektronik, gandar hadapan dan belakang kini dipadankan dengan locking differential, sistem suspensi Fox yang menampilkan penyerap hentak dilengkapi injap pirau dalaman 2.5-inci bersama sistem Bottom Out Control, pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm, dan lain-lain lagi.

Seperti model sebelumnya, produksi untuk Ford Ranger Raptor 2023 ini turut akan berjalan di Thailand, dan penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka pada lewat tahun ini. Untuk spesifikasi dan perincian penuh Ranger Raptor generasi kedua ini, anda boleh baca laporan pendedahannya pada PAUTAN INI.

The post Ford Ranger Raptor 2023 Eropah terima enjin kurang berkuasa kerana undang-undang emisi lebih ketat appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments