Baki tidak mencukupi dalam Touch ‘n Go eWallet membuatkan lorong RFID sesak – PLUS

Baru-baru ini, ada berita yang tular di laman media sosial berhubung dengan kenderaan yang berbaris panjang di dua lorong RFID di Plaza Tol Jalan Duta (arah Kuala Lumpur). Lantas PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengadakan siasatan untuk mengenalpasti punca insiden terbabit.

“Hasil siasatan kami mendapati bahawa kesesakan tersebut berpunca daripada beberapa pelanggan yang menggunakan lorong RFID tidak mempunyai baki yang cukup dan pada masa yang sama telah menambah nilai eWallet mereka secara atas talian di lorong tol di antara 8 pagi hingga 8.59 pagi iaitu pada waktu puncak,” jelas PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu, PLUS memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan mengambil langkah segera membantu pelanggan yang menghadapi masalah agar tidak menghalang laluan kenderaan lain.

“Untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna lebuh raya RFID diingatkan supaya sentiasa menyemak baki eWallet dan Kad Touch ‘n Go untuk transaksi sama ada menggunakan RFID, Kad Touch n’ Go dan SmartTAG untuk kemudahan dan keselesaan perjalanan di lebuh raya,” sambung PLUS lagi.

Untuk anda yang menggunakan RFID sebagai pembayaran tol, anda boleh mengaktifkan fungsi tambah nilai secara automatik dalam aplikasi TnG eWallet. Ia akan menambah nilai baki secara automatik dengan amoun yang telah ditetapkan, anda boleh menonton tutorial bagaimana cara tambah nilai tersebut DI SINI.

Selain itu, adalah penting untuk melekatkan tag RFID secara betul, terutamanya jika anda melakukannya sendiri. Tag RFID itu perlu dilekatkan paling kurang dalam jarak 5 cm daripada bahagian logam untuk mengelak gangguan isyarat. Maksudnya, jika di cermin depan, ia perlu dijauhkan sedikit dari bingkai logam pada tiang A dan juga bumbung.

Juga pastikan ia tidak berada dalam laluan pengilap cermin anda. Untuk itu, lebih mudah juga sebenarnya untuk pasangkan tag berkenaan di bahagian lampu utama. Tag berkenaan juga tidak memerlukan kuasa luaran untuk berfungsi (tidak seperti SmartTAG). Ia menggunakan tenaga radio yang dipancarkan untuk diimbas.

The post Baki tidak mencukupi dalam Touch ‘n Go eWallet membuatkan lorong RFID sesak – PLUS appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments