Proton bekerjasama dengan Maxis untuk memperkenalkan penggunaan 5G di kilang Tanjung Malim, dengan kerja-kerja pemasangan sudah bermula sejak awal Oktober lalu. Kerjasama ini menyokong pembangunan berterusan Bandar Proton untuk menjadi model bagi bandar pintar, dan dalam masa yang sama menjayakan komitmen Maxis untuk menyediakan inovasi 5G terbaik untuk perniagaan.
Maxis akan menguruskan perkhidmatan menyeluruh bagi beberapa penyelesaian IoT (Internet of things) di
Proton Tanjung Malim, dengan kes penggunaan bergantung pada rangkaian 5G yang dibina khas.
Antara penyelesaian yang disediakan termasuk sistem keselamatan pintar untuk menjejak dan memastikan keselamatan kenderaan yang meninggalkan fasa pengeluaran serta sistem sokongan dan penyelenggaraan jarak jauh realiti maya. Ini membolehkan jurutera Proton untuk berkomunikasi dengan rakan niaga antarabangsa dalam masa nyata untuk menyelesaikan masalah teknikal dan memastikan kualiti pengeluaran.
“Sebagai jenama automotif utama negara, Proton terus mencari dan memanfaatkan teknologi baru yang selari dengan slogan “Inspiring Connections” yang digunakan, untuk memajukan lagi kepakaran dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan,” jelas CEO Proton, Li Chunrong.
“Melaksanakan teknologi 5G di kilang utama kami merupakan langkah penting untuk strategi pertumbuhan. Melalui kerjasama strategik dengan Maxis, kami ingin meneroka peluang baru yang boleh diterjemah kepada sekuriti yang lebih maju, persekitaran lebih selamat, kecekapan ditambahbaik, dan akhir sekali untuk mengeluarkan kereta lebih bagus,” tambahnya.
“Maxis berbangga untuk dipilih menjadi rakan teknologi untuk menyediakan kes penggunaan 5G yang sangat penting ini untuk industri automotif tempatan. Kerjasama dengan Proton ini akan menjadi bukti kepada peranan utama kami yang sudah pun dimainkan dalam memupuk ekosistem digital untuk industri melalui inovasi,” ujar CEO Maxis, Gokhan Ogut.
“Sebagai penyedia penyelesaian tertumpu utama di Malaysia, Maxis komited untuk menawarkan inovasi 5G terbaik melalui kepakaran dan sumber kami, untuk membolehkan negara ini sentiasa di depan dalam dunia yang kian berubah,” tambah beliau.
Proton melihat teknologi 5G sebagai mempunyai potensi untuk merevolusikan industri automotif dan mengubah sektor pengangkutan. Dengan teknologi yang mampu menyediakan pindahan data berkelajuan tinggi, Proton akan mampu memperluaskan R&D dalam teknologi cellular vehicle-to-everything (C-V2X), merintis jalan untuk mencipta dan membangunkan kenderaan yang serasi dengan teknologi autonomous untuk masa depan.
The post Proton, Maxis bawakan teknologi 5G ke kilang Tanjung Malim — sekuriti pintar, sokongan jarak jauh appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments