Polis saman anggota polis yang tular langgar undang-undang; nombor plat fancy dan tiada cermin sisi

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan bahawa pihaknya telahpun mengeluarkan saman terhadap seorang anggota polis yang menunggang motosikal tanpa cermin sisi dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

Menurut laporan Harian Metro, kesalahan anggota tersebut telah dimuat naik dalam akaun Tik Tok milik @haikaliskandr, kemudian ditularkan oleh orang ramai. Video berdurasi 21 saat tersebut menunjukkan rakaman dipercayai daripada dua lelaki yang menaiki kenderaan memaklumkan seorang anggota ronda Balai Polis Ampang menunggang motosikal tanpa cermin sisi serta menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi pada 5.30 petang, semalam.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap anggota terbabit dengan mengeluarkan saman trafik bagi kedua-dua kesalahan berkenaan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya kepada akhbar berkenaan.

Dalam satu lagi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh IPD Ampang Jaya menyatakan bahawa tindakan berlandaskan undang-undang telah diambil terhadap anggota tersebut dengan mengeluarkan saman trafik bernombor F2242G000721 bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy, dan saman trafik bernombor F2242G000720 bagi kesalahan tiada cermin pandang belakang.

The post Polis saman anggota polis yang tular langgar undang-undang; nombor plat <em>fancy</em> dan tiada cermin sisi appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments