Perodua Alza D27A di’render’ lagi — muka Myvi 2022

Selepas mengenakan wajah depan Ativa kepada Daihatsu Xenia sebelum ini, Theophilus Chin kembali lagi dengan interpretasi lain terhadap Perodua Alza D27A generasi baru dan memberi bayangan apa rupa MPV tersebut kelak. Kali ini, wajah depan Myvi terbaru pula dikenakan kepada Xenia.

Antara elemen penting pada Myvi 2022 ialah gril depan yang lebih besar dan ketara, dengan rekaan krom melintang yang bertemu dengan logo Perodua. Dapat juga dilihat rekaan atau lekuk X yang ada pada bampar dan bahagian atas wajahnya, dengan DRL LED menegak terletak di sudutnya.

Bagi Myvi varian atas H dan AV, lip hitam pada bamparnya mempunyai seksyen warna perak, dengan lampu utama juga diberi rekaan baru serta jalur menegak di bampar belakang untuk mengimbangi elemen sama di depan untuk DRL. Bagi imej render ini, Xenia berkenaan hanya diberikan gril depan dan bampar Myvi untuk diserasikan dengan wajah depan MPV berkenaan yang lebih tinggi.

Memang, rekaan adalah subjektif, jadi antara dua imej bayangan Alza baru ini yang dihasilkan Theo, yang mana satu anda rasakan lebih menarik? Atau, lagi elok kekalkan wajah Xenia sahaja untuk Alza juga? Atau mungkin wajah Avanza/Veloz baru?

Pengeluaran Alza sedia ada dikhabarkan bakal dihentikan Januari tahun depan, dengan model tersebut akan mula diakhiri jualannya bermula Februari 2022. Maksudnya, pengganti Alza ini hanya akan muncul selepas itu, walaupun masih samar-samar tempoh waktunya untuk masuk pasaran.

Alza generasi baru dijangka bakal menggunakan asas yang sama seperti Avanza/Veloz/Xenia, yang semuanya menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jika betul, MPV Perodua ini akan jadi model kedua menggunakan paltform tersebut selepas Ativa, walaupun mungkin tidak diberikan enjin turbo yang sama. Di Indonesia, semua MPV berkenaan menggunakan enjin NR.

The post Perodua Alza D27A di’render’ lagi — muka Myvi 2022 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments