Pelajar M’sia gembira jumpa Perodua Myvi di Scotland

Sebagai sebuah model kereta yang memegang gelaran “yang paling laris di Malaysia” selama bertahun-tahun, tidak hairanlah kita boleh jumpa dengan Perodua Myvi tak kira di mana ceruk pun dalam negara. Penulis pernah menyertai ekspedisi 4X4 di Borneo satu ketika dulu, dan setelah bersusah payah mengharungi jalan lasak yang jauh, ada sebuah Perodua Myvi yang dimiliki oleh penduduk di kawasan pedalaman berkenaan.

Begitulah Perodua Myvi, sebuah model yang boleh dikatakan paling ikonik di Malaysia dan dikaitkan dengan pelbagai kisah suka dan duka rakyat negara kita. Jadi tak hairanlah mengapa viral satu hantaran Facebook oleh pengguna laman sosial berkenaan yang bernama Mahziah Ramly di grup Myvi Club Malaysia (Official) yang menunjukkan betapa gembira anaknya dan rakan-rakan yang lain terjumpa sebuah Perodua Myvi generasi pertama di Scotland.

“Anak saya yang study di Edinburgh hantar gambar ni. Seronok katanya hilang rindu pada kereta Myvinya yang warna biru kat Malaysia bila lihat ada Myvi ni di Scotland,” tulis Mahziah dan turut meletakkan tag anaknya yang bernama Irfan Zulkiflee di hujung hantaran tersebut.

Bagi yang belum mengetahui, selain Proton, Perodua juga ada mengeksport model-model mereka ke UK pada era 90’an, bermula dengan model Kancil sehingga awal era 2000. Malah ada pengedar Proton di UK yang turut menawarkan model-model dari Perodua bagi mereka yang mahukan kereta-kereta yang lebih kompak.

Ingat lagi bagaimana Jeremy Clarkson memusnahkan sebuah Perodua Kelisa dalam satu episod Top Gear? Itu adalah salah satu contoh unit-unit Perodua yang berada di sana. Malah Clarkson juga turut pernah memandu Myvi generasi pertama dalam satu lagi episod Top Gear yang bertajuk “Small Car Challenge”.

GALERI: Perodua Myvi dari setiap generasi dan facelift

The post Pelajar M’sia gembira jumpa Perodua Myvi di Scotland appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments