Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

Nissan telah membuat pengumuman akan meningkatkan lagi rancangan elektrifikasi mereka dengan melabur dua trilion yen (RM74.8 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mempercepatkan lagi elektrifikasi pada barisan model mereka. Di bawah strategi Ambition 2030 yang dibuat, Nissan meletakkan sasaran memperkenalkan 23 model elektrifikasi, termasuk 15 daripadanya adalah kenderaan elektrik bateri (BEV), menjelang tahun 2030.

Menurut syarikat itu lagi, dengan pengenalan 20 model e-Power dan EV ke dalam pasaran menjelang lima tahun akan datang, mereka meletakkan sasaran untuk meningkatkan skop produk elektrifikasi mereka dalam pelbagai pasaran utama menjelang 2026.

Dalam langkah ini, Nissan berhasrat menjadikan 75% jualan kenderaan di Eropah terdiri daripada model yang mendapat kuasa elektrik, sementara untuk pasaran domestik (Jepun) pula sehingga 55%. Untuk China pula, mereka meletakkan sasaran lebih 40% manakala untuk Amerika Syarikat juga dalam peratusan yang sama, menjelang tahun 2030.

Selain daripada platform dan model baru, pengeluar dari Yokohama ini juga mempunyai perancangan untuk melabur besar-besaran dalam pembangunan bateri serta teknologi yang berkaitan. Mereka memberitahu akan terus mengembangkan lagi teknologi bateri lithium ion sedia ada dan memperkenalkan teknologi bebas kobalt untuk mengurangkan kos bateri sehingga 65% menjelang 2028.

Dalam usaha untuk memenuhi permintaan unit pembekal kuasa, Nissan memberitahu akan menyediakan sistem bekalan bateri global, dan berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran bateri global secara keseluruhannya kepada 52 GWh menjelang 2026 dan sehingga 130 GWh menjelang 2030.

Syarikat ini juga meletakkan sasaran untuk mengembangkan lagi penggunaan bateri all-solid-state (ASSB) yang dibangunkan oleh mereka menjelang tahun 2028. ASSB ini dikatakan dapat mengurangkan waktu mengecas sehingga satu per tiga, menjadikan EV lebih cekap, mudah diguna dan dapat mengurangkan kos pek bateri sehingga US$75 (RM317) bagi setiap kWh menjelang tahun 2028.

Sebagai tambahan kepada teknologi baru, Nissan juga akan mengeluarkan dan menggunakan bahan dalam negara untuk EV, bagi menjadikannya lebih kompetitif dan bersedia melabur sehingga 20 bilion yen (RM748 juta) menjelang tahun 2026 untuk menbangunkan struktur pengecas kenderaan. Lebih 30,000 pekerjaan dalam penyelidikan dan pembangunan juga akan terbuka secara global.

Dalam perkembangan lain, Nissan juga mengumumkan akan meluaskan lagi teknologi autonomous ProPilot kepada lebih 2.5 juta kenderaan Nissan dan Infiniti menjelang 2026, dan mensasarkan untuk menggunakan sistem LIDAR generasi baru pada semua model menjelang 2030.

The post Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments