Melaka bakal jadi pusat pemasangan EV pertama di M’sia – teliti cadangan syarikat pengeluar kereta China

Kerajaan Melaka mengesahkan telah menerima cadangan sebuah syarikat automotif dari China yang berminat untuk menjadikan negeri itu sebagai pusat pemasangan kenderaan elektrik (EV) pertama di negara ini. Perkara ini dimaklumkan oleh EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang berkata cadangan tersebut sedang dibincang dan diteliti sebelum diputuskan tidak lama lagi, laporan Harian Metro.

“Wakil syarikat berkenaan sudah menghubungi saya baru-baru ini dan menyatakan hasrat berkenaan. Di peringkat kerajaan negeri, saya akan meneliti dahulu cadangan berkenaan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) termasuk lokasi yang sesuai bagi membangunkan kilang pemasangan EV terbabit.

“Pada dasarnya kita tiada halangan, namun ia memerlukan perbincangan teliti dengan semua agensi berkaitan termasuk berkaitan lokasi serta impak ekonomi negeri serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Tambah beliau, mulai tahun depan, kerajaan negeri menerusi PKNM akan memberi keutamaan kepada industri automotif yang disifatkan sebagai satu daripada industri terbesar yang akan dibawa masuk ke negeri ini.

Katanya, sebelum ini syarikat kenderaan, Honda yang membuka kilang pemasangan di Pegoh, Alor Gajah, berjaya membuktikan keupayaan pengoperasiannya di Melaka, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai sebuah lokasi terbaik dalam sektor pemasangan automotif di negara ini.

Pada 2017, kerajaan Malaysia ketika itu pernah menyatakan matlamat untuk menjadikan negara ini sebagai hab bagi pasaran EV menjelang tahun 2030 dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya. Justeru, jika Melaka berjaya menjadi pusat pemasangan EV pertama di negara ini, kebarangkalian ia boleh membantu untuk merealisasikan matlamat tersebut.

The post Melaka bakal jadi pusat pemasangan EV pertama di M’sia – teliti cadangan syarikat pengeluar kereta China appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments