Sebelum ini Mazda telah mengumumkan bahawa barisan model-model SUVnya bakal dikembangkan lagi – minggu ini jenama automotif dari Hiroshima berkenaan telah pun memperkenalkan siri baharu pertama dari rancangan tersebut, digelar CX-50. Apa pula selepas ini? Nah, ini dia gambar satu lagi model baharu yang digelar CX-60 yang telah pun tertiris menerusi video yang disiarkan oleh CSK Review Channel (video tersebut telah dipadamkan tidak lama selepas itu).
Mazda CX-60 ini merupakan SUV dengan dua baris tempat duduk yang menjadi sebahagian dari kumpulan Produk Besar Mazda, dan bakal dijual di pasaran-pasaran “dengan jalan lebih sempit dan lot pakir lebih kecil” seperti Eropah, Jepun dan lain-lain. Ia bakal disertai oleh model CX-80 dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk pada pasaran-pasaran yang sama.
Manakala model baharu lain seperti CX-50 (dua baris tempat duduk), CX-70 (dua baris tempat duduk, badan lebar) dan CX-90 (tiga baris tempat duduk, badan lebar) akan dijual di pasaran Amerika Utara dan lain-lain.
Dalam video tersebut dapat dilihat bahawa CX-60 nampak lebih besar dari CX-5 sedia ada, dan rekaannya nampak lebih elegan dan bersegi berbanding CX-50 yang tampil dengan gaya lebih lasak. CX-60 ini juga menampilkan gril lebih tinggi, lampu hadapan lebih nipis, ruang roda yang lebih normal dengan bentuk bulat, serta menampilkan liang udara hitam pada kedua-dua sisi bampar hadapan.
Video berkenaan menampilkan dua unit CX-60, di mana unit yang berwarna merah datang dengan penutup cermin sisi dan juga kemasan sekeliling gril yang berwarna hitam, manakala unit yang berwarna putih pula menampilkan kemasan masing-masing warna badan dan krom pada bahagian sama. Ini mungkin menandakan kedua-dua unit tersebut adalah dari varian berbeza.
Namun imej yang tertiris ini tidak menunjukkan bahagian belakang CX-60 berkenaan. Mazda juga belum menyiarkan sebarang maklumat rasmi terhadap SUV baharu tersebut setakat ini.
Mazda CX-60 ini dijangka diasaskan dari platform baharu Mazda yang menampilkan konfigurasi enjin hadapan, pacuan roda belakang. Platform tersebut sebelum ini telah disahkan dihasilkan sekali dengan pilihan enjin petrol sepenuhnya bentangan enam-silinder sebaris, atau unit rangkaian kuasa hibrid gandingan enjin petrol empat-silinder dan motor elektrik.
Berdasarkan jarak antara roda hadapan dan tiang-A CX-60 ini, nampak seakan nisbah pemuka-ke-gandar model ini lebih panjang berbanding model-model terkini Mazda yang lain, menjadi satu lagi petanda bahawa ia memang adalah model pacuan roda belakang.
The post Mazda CX-60 2022 – imej tertiris; bakal guna enjin enam-silinder sebaris dan pacuan roda belakang? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments