Mazda BT-50 2022 dan MX-30 EV atau CX-30 CKD akan tiba di M’sia tidak lama lagi – dipertonton pada 29 Nov

Bermaz pengedar jenama Mazda di Malaysia, telah menyiarkan teaser untuk dua model akan datang, yang dijadualkan akan dipertontonkan pada 29 November ini. Imej tunggal tersebut menyaksikan model baharu yang samar-samar, tetapi kelihatannya seperti SUV dan trak pikap.

Identiti bagi trak pikap berkenaan sudah pastinya BT-50 baharu, yang diasaskan dari Isuzu D-Max terkini. Rekaan luarannya unik tetapi berkongsi sentuhan kabin dan mekanikal yang sama dengan D-Max, termasuklah 1.9 liter 150 PS dan 3.0 liter turbodiesel 190 PS dan pilihan kotak gear manual dan automatik enam-kelajuan.

Manakala tidak diketahui pula SUV itu untuk model yang mana. Bentuknya kelihatan macam CX-30 pada pandangan pertama (Bermaz dijadualkan memproduksi SUV terbabit dalam bentuk pemasangan tempatan atau CKD) tetapi jika dilihat lebih teliti, kelihatan lampu belakang yang bulat pada bampar kecilnya, lebih kurang macam MX-30.

Ada juga kebarangkalian kenderaan elektrik itu akan dilancarkan sebelum CX-30 CKD, bersama BT-50. Lagi pun, MX-30 sepatutnya tiba di Malaysia pada Oktober 2020, tetapi perancangan itu tertunda disebabkan pandemik COVID-19.

Baru-baru ini pula, artikel kajian Maybank Investment Bank menyatakan MX-30 akan tiba di pasaran Malaysia. Ia juga mengesahkan model terbabit akan diperkenalkan dalam bentuk elektrik sepenuhnya, berbanding model mild hybrid yang turut ditawarkan di beberapa pasaran. Sebagai pengetahuan, MX-30 EV dijanakan dengan motor hadapan 145 PS, dipacukan oleh bateri lithium-ion 35.5 kWh yang memberikannya jarak 200 km mengikut kitaran WLTP.

Untuk CX-30 CKD, sebelum ini kami menerima perkhabaran produksi untuk crossover tersebut bakal bermula pada Disember ini dan mula dijual pada 2022. Dijangkakan ia masih mengekalkan penawaran enjin yang sama iaitu 2.0 liter Skyactiv-G empat-silinder petrol dengan 164 PS dan 1.8 liter Skyactiv-D turbodiesel berkuasa 116 PS.

The post Mazda BT-50 2022 dan MX-30 EV atau CX-30 CKD akan tiba di M’sia tidak lama lagi – dipertonton pada 29 Nov appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments