Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) hari ini dengan secara rasminya melancarkan model Kona Electric untuk pasaran tempatan. SUV berkenaan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Hyundai yang diperkenalkan di Malaysia.
Semua sekali ada tiga varian yang akan ditawarkan. Paling asas ialah model yang dilengkapi bateri lithium-ion polymer 39.2 kWh — dengan jarak pemanduan 305 km (kitaran WLTP) — yang boleh didapati dalam dua varian; Kona Electric Lite (RM149,888) dan juga Kona Electric Plus (RM169,888). Penawaran varian paling tinggi pula ialah Kona Electric Max dengan bateri 64 kW (RM199,888), yang mempu memberikan jarak perjalanan sejauh 484 km untuk satu cas penuh.
Motor elektrik model paling asas merupakan unit yang menjana sebanyak 136 PS kuasa, sementara model 64 kWh menerima motor lebih berkuasa dengan 204 PS. Kedua-duanya mempunyai 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 9.9 saat bagi versi 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi versi bateri 64 kWh. Kelajuan maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.
Bagi aspek pengecasan pula, pengecasan pantas DC menggunakan pengecas 50 kW akan memerlukan masa 60 minit untuk penuh bagi model 39.2 kWh, manakala 90 minit untuk mengecas model dengan bateri 64 kWh. Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal pula memerlukan masa 6.5 jam bagi model paling asas dengan bateri 39.2 kW.
Jika menggunakan pengecas dalaman 11 kW pula, tempoh pengecasannya akan menjadi 4.5 jam sahaja. Sementara itu, menggunakan pengecas yang sama ini untuk bateri 64 kW, ia akan memakan masa selama 7.5 jam. Namun, jika pengguna hanya menggunakan kabel yang disediakan untuk kegunaan domestik biasa (in-cable control box), ia akan memakan masa selama 31 jam. Jaminan bagi baterinya pula ialah selama lapan tahun, atau 160,000 km (yang mana datang dulu).
Membezakan versi EV ini dari luaran ialah penggunaan warna badan dua-tona yang ditampilkan, dengan bahagian bumbung berwarna hitam. Lampu yang digunakan oleh model ini juga LED penuh, termasuk lampu nyalaan siangnya. Lampu kabus hanya terletak di belakang. Landasan di bumbungnya pula mampu menampung beban sehingga 80 kg.
Ukuran dimensi Kona EV ini pula adalah seperti berikut — 4,205 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan 2,600 mm jarak antara roda. Jarak kelegaan dari permukaan tanah pula ialah 157 mm. Kona Electric menggunaan rim aloi 17-inci dengan saiz tayar 215/55. Untuk suspensi, ia menggunakan jenis MacPherson Strut di depan, dan multilink di belakang.
Bahagian dalaman Kona Electric ini pula ditawarkan dalam dua kombinasi warna kabin, iaitu Oceanids Black untuk suasana yang lebih gelap dan Light Shale Grey untuk mereka yang inginkan suasana lebih cerah. Di kedudukan tengah papan pemuka, sebuah skrin sentuh LCD lapan-inci tersedia, lengkap dengan sambungan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar.
Kluster instrumen digital untuk pemandu juga mudah dilihat, dengan saiz paparan 10.25-inci. Semua maklumat pemanduan boleh diakses melaluinya, termasuk untuk memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan — Normal, Sport, Eco dan Eco+.
Sambungan Bluetooth dan kamera pandang belakang juga dipaparkan padanya. Untuk kemudahan pengecasan peranti pintar pengguna, pengecas tanpa wayar Qi turut disediakan. Antara perbezaan ketara dalam kabin Kona versi EV ini dengan versi petrol ialah bahagian bawah konsol tengahnya tersedia ruang simpanan yang agak luas untuk dimanfaatkan.
Ruang barangan yang tersedia adalah 332 liter dengan semua kerusi dinaikkan. Turunkan penyandar kerusi belakang, anda akan mempunyai ruang 1114 liter untuk mengangkut barangan.
Tempat duduk semuanya balutan kulit, dengan larasan manual untuk varian paling rendah. Bagi dua varian lebih tinggi, kerusi pemandu diberikan larasan kuasa 10-arah, sementara bagi penumpang di tepi hanya ada larasan lapan-arah. Varian Max mempunyai kelebihan pemanas tiga-tahap dan kerusi berliang untuk bahagian depan. Turut disediakan ialah brek parkir elektronik dengan Auto Hold, sistem pendingin hawa zon tunggal automatik serta cermin pandang belakang elektronik kromik anti-silau.
Aspek keselamatan juga nampak impresif. Kona Electric datang dengan enam beg udara, dengan ABS, ESC, VSM, BAS, TCS. Begitu juga dengan bantuan mula mendaki (HAC), kawalan brek menuruni curam (DBC), sistem bantuan parkir, pengingat tali keledar dan Isofix.
Tidak ketinggalan ialah Hyundai SmartSense, yang terdiri daripada bantuan penghindaran perlanggaran titik buta (BCA — Plus dan Max sahaja), bantuan penghindaran perlanggaran lintasan trafik di belakang (RCCA — Plus dan Max sahaja), bantuan mengekalkan lorong (LKA), bantuan mengikut lorong (LFA), amaran pergerakan kenderaan hadapan (LVDA), kawalan melayar pintar dengan Stop & Go (SCC — Plus dan Max sahaja), bantun penghindaran perlanggaran depan (FCA), bantuan lampu tinggi (HBA), amaran perhatian pemandu (DAW), amaran penumpang belakang (ROA) dan amaran keluar selamat (SEA — Plus dan Max sahaja).
Kona Electric datang dalam sembilan pilihan warna — Ignite Red, Dark Knight, Atlas White, Dive in Jeju, Cyber Grey Metallic, Pulse Red Pearl, Galastic Grey, Surfy Blue Metallic dan Jungle Green. Semua varian datang dengan jaminan dua tahun atau 50,000 km (yang mana datang dulu).
Hyundai Kona Electric Lite 39.2 kW
Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW
Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW
The post Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia — tiga varian, jarak 305 km dan 484 km, dari RM150k-RM200k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments