Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan – RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini

Australia bakal menerima Honda Civic generasi ke-11 minggu hadapan – ia hanya hadir dalam bentuk badan hatchback, serta ditawarkan dalam satu varian tunggal iaitu VTi LX dan bakal dijual pada harga AUD47,200 atau sekitar RM143k.

Dengar macam lebih kurang sama sahaja dengan harga Honda Civic di Malaysia bukan? Namun menurut laporan drive.com.au, harga yang ditawarkan tersebut adalah hampir tiga kali ganda lebih mahal dari Honda Civic generasi ke-10 yang dijual pada harga AUD16,200 (RM49k) untuk varian asas VTi-S, serta AUD7,600 lebih mahal dari varian tertinggi RS sebelum itu.

Ini membuatkan Honda Civic 2022 tersebut kini perlu bersaing dengan model-model kompak mewah dari BMW, Mercedes-Benz dan Audi, dan harganya untuk model biasa berkenaan hampir menyamai Civic Type R FK8 sebelum ini yang dijual pada harga AUD50,990 (RM154k) pada 2018, lapor portal automotif Australia berkenaan.

“Honda Civic generasi ke-11 mewakili perubahan selangkah untuk Honda dalam segmen kereta kecil, dengan model serba baharu yang mengangkat elemen aspirasi utama jenama Honda seperti mutu ketukangan, kualiti premium dan rekaan intuitif,” kata pengarah Honda Australia, Stephen Collins dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

“Dalam meraikan ulangtahun ke-50, pereka-pereka dan para jurutera Honda telah membawa Honda Civic kepada satu tahap yang baharu, menghasilkan kereta yang lebih canggih, lebih sofistikated, dan lebih premium dari sebelum ini. Untuk Australia, Civic serba baharu ini telah diperincikan bagi memuaskan hati sasaran pelanggan yang baharu, iaitu sasaran yang selari dengan langkah beralih ke kedudukn lebih premium untuk nama Honda Civic dan jenama Honda secara keseluruhan,” kata Collins lagi, yang mungkin menjelaskan mengapa harga sedan segmen-C berkenaan naik dengan mendadak.

Seperti model pasaran lain, Civic hatchback Australia ini dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo, menghasilkan 182 PS dan tork maksima 240 Nm jika menggunakan petrol premium RON95 (juga boleh menggunakan petrol tanpa plumbum RON91), digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

Angka kuasa berkenaan dilihat sama dengan dengan model pasaran Jepun dan Amerika Syarikat, iaitu 5 PS/20 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Ia sedikit berbeza dengan talaan kuasa bagi model pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand (Malaysia juga berkemungkinan juga sama) yang hanya menghasilkan 178 PS dengan tork 240 Nm yang sama.

Harga yang naik mendadak tersebut seiring dengan kelengkapan yang juga lebih baik ditawarkan pada Civic 2022 ini berbanding model sebelumnya, menurut drive.com.au lagi. Secara standard, Civic baharu ini diberikan perincian seperti skrin infotainmen lebih besar bersaiz 9.0-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar (Android Auto masih perlu wayar), sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan pelbagai lagi.

Ia juga menerima kelengkapan lain seperti rim aloi 18-inci, lampu hadapan dan belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, paparan instrumen digital 7.0-inci, sistem penghawa dingin automatik dua-zon, dan lain-lain.

Untuk keselamatan pula, Honda Civic 2022 pasaran Australia ini diberikan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, pemantau titik buta (bagi menggantikan sistem kamera LaneWatch), amaran lintasan trafik belakang, bantuan kesesakan trafik, amaran tumpuan pemandu, dan sebagainya.

Empat warna ditawarkan iaitu Platinum White, Crystal Black, Premium Crystal Red dan Premium Crystal Blue. Australia menerima stok Civic mereka terus dari Jepun dan bukan lagi Thailand. Honda Australia turut mengesahkan bahawa Civic turut akan ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV dan juga versi berprestasi tinggi Type R pada 2023, sama seperti model JDM.

The post Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan – RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments