Honda CBR1000RR-R Fireblade SP telah diberikan naik taraf untuk model tahun 2022 dan ia sekaligus menandakan nama Fireblade itu sendiri sudah memasuki tahun ke-30 pengeluarannya. Bagi menjadikan ia lebih bermakna, pengeluar dari Jepun itu turut memperkenalkan model keluaran khas, edisi ulang tahun, yang menggunakan warna putih/merah/biru seperti CBR900RR Fireblade tahun 90-an.
Selain penampilan, naik taraf pada model ini banyak berada pada bahagian enjin, di mana unit empat silinder 999 cc itu dipasang dengan salur intake serta kotak udara baru, manakala ekzos pula datang dengan sistem 4-2-1 dan peredam Akrapovic. Sprocket belakang turut dibesarkan tiga mata. Semua ini menjadikan kuasa pada tahap rpm tengah lebih kuat, tetapi jumlah keseluruhan masih sama, iaitu 214 hp pada 14,500 rpm dan 112 Nm tork pada 12,500 rpm.
Beban spring throttle-by-wire telah dikurangkan untuk memberikan maklum balas lebih baik dan linear apabila dipulas, sementara sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula ditala semula untuk memadankannya dengan kemampuan keluar selekoh yang telah meningkat.
Tiga mod tunggangan disediakan, dan penunggang boleh melaras tahap kuasa enjin, wheelie control, engine brake serta kawalan cengkaman mengikut kesesuaian. Unit IMU six-axis akan mengawal sistem kawalan cengkaman, Wheelie Control, Cornering ABS serta steering damper elektronik HESD.
Suspensi model SP tahun 2022 terus menggunakan unit Ohlins kawalan elektronik, yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang sementara model asas pula menggunakan suspensi Showa. Brek menggunakan cakera 330 mm berkembar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.
GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2022
GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary 2022
The post EICMA 2021: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP terima peningkatan, pilihan versi istimewa ulang tahun ke-30 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments